
Peguam Janice Leo berkata, bank pusat itu memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi hari ini.
“Kami akan menulis kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan alasan penghakiman, dan bersedia memfailkan rekod rayuan,” katanya kepada FMT.
Pada 29 Mac, Hakim Ahmad Bache berkata, Y Kohila, 48, tidak diberi hak untuk didengar, yang melanggar keadilan asasi, ketika siasatan dalaman BNM serta proses rayuan seterusnya.
Mempertanggungjawabkan BNM, beliau membenarkan deklarasi bahawa pemecatan Kohila melanggar kontrak pekerjaannya.
Minggu lepas, Ahmad mengarahkan BNM membayar pampasan RM366,000 kepada Kohila selepas prosiding penilaian ganti rugi.
Mahkamah turut memerintahkan BNM membayar kos RM50,000 kepada Kohila, yang kini seorang peguam.
Kohila dikatakan berusaha meraih sokongan bagi Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan pemimpinnya pada PRU13 dengan merangka dan menerbitkan dua kenyataan media di laman web “Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit)” pada 12 April 2013.
Kohila, yang mula berkhidmat di bank pusat itu pada 2005, juga dikatakan berusaha meraih sokongan bagi S Arutchelvan, setiausaha agung PSM ketika itu, untuk bertanding di kerusi DUN Semenyih pada 17 April 2013.
Beliau turut dituduh berkelakuan tidak sesuai dengan statusnya sebagai kakitangan BNM dengan menyertai perhimpunan awam pada 1 Mei 2016, dan memakai baju anti-GST.
Kohila, bekas pengurus muzium, galeri seni dan pusat pengurusan ilmu BNM, juga menyertai perhimpunan Bersih pada 2011, yang menggesa reformasi pilihan raya, menurut bank itu.