
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata usaha menggabungkan pengaruh bekas presiden termasuk Megawati Soekarnoputri, Susilo Bambang Yudhoyono dan Presiden Joko Widodo yang akan bersara Oktober depan bakal menonjolkan kekuatan republik itu.

Menurutnya, kemampuan Indonesia untuk menstabilkan politiknya selepas melalui Pilihan Raya Presiden 2024 (Pilpres 2024) yang sengit mungkin menjadikannya lebih menarik berbanding negara Asia Tenggara lain termasuk Malaysia.
“Malaysia dan negara utama Asia Tenggara lain termasuk Indonesia sentiasa dalam persaingan sihat untuk menarik lebih banyak pelaburan asing.
“Jika Indonesia menjadi lebih stabil dari segi politik dan masyarakat berfikiran terbuka, sudah tentu ia lebih menarik daripada Malaysia,” katanya kepada FMT.
Awal bulan ini, Bernama melaporkan jurucakap Prabowo Dahnil Anzar berkata kelab presiden itu menyediakan platform untuk Prabowo dan Naib Presiden Terpilih Gibran Rakabuming Raka mendapat pandangan daripada pemimpin sebelum mereka.
Langkah itu juga untuk menggariskan kepentingan perpaduan biarpun ada perbezaan politik selepas pertembungan pada pilihan raya presiden yang lalu.
Seorang ahli politik kanan daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) Hendrawan Supratikno berkata cadangan Prabowo itu perlu diperhalusi namun beliau yakin Megawati selaku ketua parti akan menyokongnya demi kepentingan negara.
Pada 23 April lalu, PDIP yang mencalonkan Ganjar Pranowo pada pilihan raya baru-baru ini mengumumkan Jokowi dan anaknya Gibran bukan lagi ahli parti itu selepas menyokong Prabowo. Bekas gabenor Jakarta Anies Baswedan turut menyertai pertandingan itu.
Oh berkata Malaysia belum lagi boleh mengambil langkah sama memandangkan suasana politik belum stabil selain ramai bekas perdana menteri ‘tidak bertentang mata’ antara satu sama lain dengan Anwar Ibrahim yang menerajui Putrajaya kini.

Turut senada, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara yang berpendapat tiada keperluan bagi penubuhan institusi itu di Malaysia selain menjangkakan peranannya hanya sekadar untuk menunjukkan sokongan diperoleh Prabowo untuk mentadbir.
“Di Malaysia lazimnya perdana menteri daripada parti sama, maka saya lihat tiada kepentingan dalam penubuhan kelab seumpama Indonesia. Tiada gunanya jika tidak sehaluan.
“Bagi saya seharusnya menjadi tanggungjawab bekas-bekas perdana menteri membantu walaupun tidak sehaluan dari segi cara pentadbirannya tetapi boleh bantu guna pengalaman serta pengaruh,” katanya.