Faktor takut PAS, janji Nga buat bukan Melayu kekal sokong PH, kata penganalisis

Faktor takut PAS, janji Nga buat bukan Melayu kekal sokong PH, kata penganalisis

Hisomuddin Bakar berkata pengumuman Nga Kor Ming berkaitan rumah untuk bekas pekerja ladang redakan keresahan pengundi India pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Pang Sock Tao
Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PB) Khairul Azhari Saut, Nyau Ke Xin (bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).
PETALING JAYA:
Ketakutan kepada PAS dan peranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mungkin menjadi antara faktor pengundi bukan Melayu kekal menyokong Pakatan Harapan (PH) yang mempertahankan DUN Kuala Kubu Baharu, kata penganalisis.

Pang Sock Tao, bekas setiausaha akhbar Nga menang dengan majoriti 3,869 undi selepas mendapat 14,000 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut, Nyau Ke Xin (bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata peranan Nga dilihat sangat besar kerana selain status Pang sebagai bekas pegawainya, naib pengerusi DAP itu juga dilihat berjaya ‘mengepung’ undi masyarakat India.

Menurutnya, pengumuman untuk menyelesaikan isu perumahan melibatkan 1,250 ahli keluarga bekas pekerja di lima ladang berhampiran berjaya menghilangkan keresahan komuniti terbabit.

“Yang menang di sini ialah Nga…peranan beliau sangat besar dalam mengepung undi India dengan tawaran perumahan,” katanya kepada FMT.

Kajian di lapangan oleh Ilham Centre menjelang PRK Kuala Kubu Baharu menggariskan keresahan pengundi India yang sebelum ini tidak berpuas hati dengan kerajaan perpaduan diredakan melalui pengumuman Nga

Pengumuman pembinaan 245 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi pekerja ladang di Ladang Minyak, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Bukit Tagar di Bestari Jaya itu dilihat menyelesaikan isu pemilikan rumah yang berlarutan sejak 1998.

Hisomuddin berkata keputusan PRK juga menunjukkan keresahan dan ketakutan terhadap PAS masih ada di kalangan pengundi bukan Melayu, dengan sasaran PN untuk berlakunya undi protes dari komuniti India tidak berlaku.

“Undi Cina dan India masih kekal dengan PH walaupun ada sedikit rungutan, status quo ini menjelaskan kerajaan perpaduan masih bertahan di kubu kerusi bercampur,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Azmin Ali yang menerajui Bersatu Selangor turut terkesan dengan kekalahan itu kerana menyebabkan langkahnya dalam parti disertai sejak 2020 itu ‘sedikit tempang’.

“Ketakutan kepada PAS, bergerak tanpa kesepaduan jentera antara Bersatu dan PAS menyebabkan kerusi ini gagal ditawan,” kata Hisomuddin menggariskan faktor menyebabkan usaha Azmin merampas kerusi itu menjadi berat.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpandangan rakyat berbilang bangsa di Kuala Kubu Baharu telah menyatakan pendirian mereka dan diterjemahkan melalui keputusan di PRK tersebut.

Menurutnya, tidak mungkin Pang boleh menang hanya dengan sokongan 30% pengundi Cina dan 18% India, menunjukkan pemimpin wanita itu turut disokong sebahagian komuniti Melayu.

“Petanda keputusan PRK ini menunjukkan rakyat mahukan kestabilan dan tidak mahu pergolakan politik…itu semua telah ada di Selangor begitu juga di peringkat kerajaan persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.