Black Hawk lewat dihantar, kementerian semak kontrak dengan pembekal

Black Hawk lewat dihantar, kementerian semak kontrak dengan pembekal

4 helikopter Sikorsky Black Hawk dipajak untuk kegunaan tentera, dan yang pertama sepatutnya diterima pada November lepas.

Black hawk
Pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan menandatangani perjanjian bernilai RM187 juta dengan Aerotree Defense & Services Sdn Bhd, untuk memajak 4 helikopter Sikorsky Black Hawk selama lima tahun. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kementerian Pertahanan akan menjalankan penilaian menyeluruh kontrak pajakan empat helikopter Sikorsky Black Hawk sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Pada Mei tahun lepas, kementerian menandatangani perjanjian bernilai RM187 juta dengan pembekal perkhidmatan udara tempatan, Aerotree Defense & Services Sdn Bhd, untuk memajak helikopter-helikopter tersebut selama lima tahun.

Helikopter-helikopter berkenaan adalah untuk kegunaan tentera, dan yang pertama sepatutnya diterima pada November lepas.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin hari ini berkata, keputusan akan dibuat tidak lama lagi, sama ada untuk membatalkan kontrak atau memberikan pembekal masa tambahan untuk menghantar helikopter itu.

“Kita perlu pertimbangkan sama ada terdapat sebarang denda yang akan dikenakan disebabkan kelewatan dalam tarikh penghantaran yang ditetapkan, atau pembatalan.

“Helikopter itu untuk kegunaan anggota tentera di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, serta untuk mengangkut peralatan,” katanya, lapor Berita Harian.

“Tanpa helikopter (Black Hawk), operasi tentera berjalan seperti biasa, (akan tetapi) dengan kehadiran tambahan Black Hawks, operasi akan ditingkatkan.”

Semalam, Panglima Tentera Darat Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, kontraktor itu diberi masa sehingga hujung bulan ini untuk memenuhi kewajipannya. Jika kontraktor gagal berbuat demikian, pihaknya akan mengusulkan kepada kementerian supaya kontrak tersebut dibatalkan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.