
Dua doktor itu adalah Dr Aubrey Almeida, yang juga presiden terdahulu Persatuan Pakar Bedah Jantung & Toraks Australia & New Zealand (ANZSCTS), dan Dr Julian Smith dari Universiti Monash Australia, dengan kedua-duanya merupakan ahli lembaga program pengajian itu.
“Sebahagian nasihat kami adalah dengan meminta dan diberikan jaminan bahawa kepelbagaian, ekuiti, dan keterangkuman dihormati program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN di Malaysia.
“ANZSCTS dan Monash University sangat menyokong kuat kepelbagaian, ekuiti, dan keterangkuman dalam semua program pendidikannya,” kata Almeida kepada FMT dalam e-mel.
Perbahasan berbangkit sama ada UiTM patut menerima pelajar pascasiswazah bukan Bumiputera menyertai programnya.
Isu itu timbul selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC), berkata ia tidak akan mengiktiraf pakar bedah yang layak dalam program laluan selari Kementerian Kesihatan untuk dimasukkan dalam Daftar Pakar Kebangsaan.
Perunding kanan pakar bedah kardiotoraks UiTM, Dr Raja Amin Raja Mokhtar kemudian mencadangkan pengaturan pemindahan kredit sementara untuk memudahkan pendaftaran mereka.
Bagaimanapun, cadangan itu tidak diterima baik kumpulan nasionalis Melayu, yang menegaskan UiTM mesti kekal sepenuhnya kepada pelajar Bumiputera.
Almeida, yang turut bercakap bagi pihak Smith, berkata mereka didekati beberapa tahun lalu oleh konsortium mewakili UiTM dan Persatuan Pembedahan Toraks dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS), untuk bantuan dalam menubuhkan program latihan dan penilaian di Malaysia.
“Perlu ditekankan kami menyediakan bantuan secara pro bono sebagai penasihat antarabangsa dalam lembaga pengajian program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN.
“Kami bukan bertindak sebagai wakil ANZSCTS atau mana-mana hospital,” katanya.
Pada Khamis, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa UiTM membuka pintu sementara untuk memudah cara pengiktirafan kepada kumpulan pakar bedah.
Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz dalam kenyataan, berkata jika UiTM boleh membuka pintu kepada pelajar antarabangsa kenapa tidak membuka kepada rakyat Malaysia lain, berdasarkan keperluan.
Sekurang-kurangnya empat pakar bedah dari Royal College of Surgeons of Edinburgh, terumbang ambing nasib mereka selepas gagal berdaftar untuk memberi khidmat di Malaysia.
Manakala, 28 pelatih di pelbagai peringkat kursus berdepan masalah sama.