
Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata ia termasuk penyalahgunaan gambar Yang di-Pertuan Agong serta manipulasi logo Umno dan DAP dalam membantu kempen Pakatan Harapan (PH), minggu lalu.
“Ada 12 laporan sahaja dan ada dua tangkapan dan kita sudah tuduh salah seorang yang meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong serta (perdana menteri) Anwar Ibrahim. Kita berpuas hati dengan perjalanan kempen sejak penamaan calon pada 27 April lalu,” katanya ketika ditemui pemberita dekat IPD Hulu Selangor.
Isnin lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM3,000 terhadap seorang warga emas, P Ramasamy selepas didapati bersalah menyalahgunakan gambar Agong bersama bendera dan logo PH.
Dalam perkembangan sama, Razarudin memberitahu, tiada isu sensitif dibangkitkan sepanjang ceramah dan kempen parti politik dikesan terutama berkaitan bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
“Tak ada yang menyentuh 3R atau isu terlalu sensitif, tiada. Isu yang dibangkitkan adalah pembangunan, itulah yang sepatutnya dibincangkan (oleh parti politik),” katanya.
Ditanya sama ada polis akan melakukan siasatan susulan dakwaan rasuah yang kononnya dilakukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Kuala Kubu Baharu, Razarudin berkata, ia bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kawasan Kuala Kubu Baharu mempunyai 40,226 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu, 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera, dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia), dan Nyau Ke Xin (bebas).