
Menteri pengangkutan berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu namun sebagai langkah pencegahan, beliau mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) menyemak sistem berkenaan yang mula digunakan dalam kalangan pemandu e-panggilan ketika ini.
“Saya minta Apad untuk lihat perkara itu, tetapi setakat ini memang tidak ada apa-apa yang kita benarkan lagi,” katanya selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78 di Melaka, menurut Bernama.
Beliau mengulas mengenai aplikasi e-panggilan menggunakan sistem bidaan semakin menjadi pilihan ketika ini, yang mana melalui aplikasi itu pemandu e-panggilan boleh meletakkan harga sendiri bagi satu jarak perjalanan sebelum dibida pelanggan jika kadar tambang dipersetujui.
Bagaimanapun, penggunaan sistem itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna perkhidmatan awam apabila kaedah berkenaan seolah-olah memaksa penumpang membayar harga lebih tinggi dan lebih menguntungkan pemandu.
Dalam perkembangan lain Loke berkata, laporan siasatan oleh pasukan khas yang menyiasat dakwaan terkandung dalam JPJ Pandora Papers akan diserahkan kepada ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan untuk dinilai dan tindakan seterusnya.
Menurutnya, setakat ini memang diakui wujud beberapa kelemahan dikenal pasti dalam proses pendaftaran nombor klasik memandangkan nombor plat itu diperoleh mengikut kaedah sedia ada, namun ia perlu diperketatkan dan dikawal.
“Ini kerana nombor-nombor klasik itu dahulunya didaftarkan tanpa satu proses sistem yang telus dan terperinci kerana pada zaman 50-an dan 60-an ia didaftar secara manual, tidak ada dalam sistem komputer atau aplikasi seperti MySikap.
“Kerana itu kadang-kadang apabila nombor itu didaftarkan, mereka ingat tidak dipunyai orang tetapi suatu masa kemudian, pemilik sebenar datang dan tuntut kembali nombor tersebut. Jadi ia menimbulkan keraguan ke atas sistem kita dan bagi memastikan tiada pertindihan pemilikan pada masa akan datang, kita akan ketatkan dan kawal pendaftarannya,” katanya.