
Pang juga berjanji meneruskan legasi ditinggalkan penyandang, Lee Kee Hiong untuk membangunkan Kuala Kubu Baharu termasuk isu melibatkan infrastruktur.
“Saya adalah wakil rakyat penduduk di Kuala Kubu Baharu tidak kira bangsa, agama dan latar belakang politik.
“Perkara yang saya akan lakukan pada hari pertama berkhidmat sebagai wakil rakyat adalah mendengar dan menyelesaikan masalah mendesak daripada penduduk,” katanya dalam sidang media selepas diumumkan pemenang PRK itu.
Pang berjaya mengekalkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP di Kuala Kubu Baharu apabila menang dengan majoriti 3,869 selepas mendapat 14,000 undi.
Pencabarnya Khairul Azhari Saut daripada Perikatan Nasional (PN) mendapat 10,131 undi, manakala calon bebas Nyau Ke Xin memperoleh 188 undi dan Hafizah Zainuddin daripada Parti Rakyat Malaysia menerima 152 undi.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata kemenangan Pang menunjukkan kerajaan perpaduan masih mendapat sokongan kukuh dan ampuh daripada pengundi pelbagai kaum.
“Kita mendapat peningkatan di beberapa undi Melayu yang menunjukkan Melayu lebih yakin dengan kerajaan perpaduan.
Kita memenangi undi awal, sebahagian besar adalah penjawat awam,” katanya pada sidang media.
Katanya, antara pencapaian membanggakan PH termasuk berjaya menang beberapa pusat daerah mengundi, undi awal dan undi pos yang sebelum ini dikuasai PN.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang PN akan memfailkan petisyen jika PH memenangi PRK itu, Amirudin secara sinis berkata itu petanda PN sudah menyedari mereka akan tewas.