Sarawak cadang tambah DUN baharu demografi bercampur

Sarawak cadang tambah DUN baharu demografi bercampur

Negeri itu ketika ini mempunyai 82 Dewan Undangan Negeri.

openg
Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata cadangan itu akan dimaklumkan kepada SPR kelak.
PETALING JAYA:
Kerajaan Sarawak menimbang menyemak semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini untuk mewujudkan kawasan demografi bercampur, kata Premier Abang Johari Openg.

Katanya, selepas semakan cadangan berkenaan akan dikemuka kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkait kawasan baharu berkenaan.

“Jumlah sebenar kerusi yang akan ditambah belum dapat ditentukan kerana keputusannya terletak pada SPR, kita (kerajaan Sarawak) cuma mengemukakan cadangan.

“Tetapi, kami mencadangkan kawasan pilihan raya yang perlu diwujudkan perlu mempunyai beberapa parameter asas yang penting untuk memastikan perwakilan yang seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya menurut Berita Harian di Kuching.

Pada 1 Jan lalu, pengerusi SPR ketika itu Abdul Ghani Salleh memaklumkan pihaknya sedang menimbang dan meneliti kesesuaian melaksanakan urusan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak.

Kali terakhir Sarawak melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah pada pada 2016, membabitkan pertambahan 11 kerusi DUN. Susulan itu, Sarawak menyaksikan pertambahan kepada 82 DUN selain negeri itu mempunyai 31 Parlimen.

Pada 8 Okt 2023, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Julaihi Narawi, pada konvensyen khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, ada mengemukakan usul menambah kawasan Parlimen.

Katanya, penambahan kawasan Parlimen di Sarawak itu selaras dengan hasrat membolehkan Sabah dan Sarawak mempunyai satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kawasan Parlimen di Malaysia.

Justeru, Sarawak harus dipertimbangkan sekurang-kurangnya 12 kawasan Parlimen baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.