Pemain Man Utd doa Faisal ‘tabah, terus berjuang’

Pemain Man Utd doa Faisal ‘tabah, terus berjuang’

Penjaga gol Andre Onana berkata mereka berada di belakang pemain Selangor FC Faisal Halim susulan serangan asid Ahad lalu.

onana garnacho faisal
Pemain Manchester United, Andre Onana dan Alejandro Garnacho memberi motivasi kepada Faisal Halim untuk bingkas pulih, selepas mengalami serangan asid minggu lalu.
PETALING JAYA:
Pemain Manchester United mendoakan Faisal Halim segera sembuh susulan serangan asid dialaminya pada 5 Mei, mengakibatkan sayap Selangor FC itu melecur tahap empat.

Dalam video dimuat naik dalam laman Instagram Stadium Arena, penjaga gol Manchester United, Andre Onana, dan pemain tengah, Alejandro Garnacho, menyeru pemain bintang Harimau Malaya ‘tabah dan terus berjuang’.

Onana, yang bercakap bagi pihak rakan sepasukan lain, sedar Faisal dan keluarganya berdepan detik sukar selepas insiden sehingga pemain berusia 25 tahun berkenaan berada situasi kritikal.

“Kami dengar apa telah berlaku. Kami terkesan dengan anda (dan) kami bersama anda,” katanya.

“Kami mendoakan semuanya terbaik. Terus berjuang, kami bersama anda, saudara.”

Garnacho, yang duduk bersebelahan Onana dalam video itu, juga memberi motivasi agar anak kelahiran Pulau Pinang terbabit ‘tabah’.

Setakat ini, polis menahan dua suspek disyaki terlibat dalam serangan asid ke atas Faisal, yang melalui pembedahan ketiga, pada tengah hari Khamis lalu.

Semalam, Ahli Lembaga Selangor FC, Shahril Mokhtar, memberitahu Bernama bahawa Faisal kini boleh berjalan di bilik hospital dan tidak sabar untuk pulang ke rumah.

Faisal, atau lebih dikenali ‘Mickey’, menempa nama antarabangsa selepas gol menentang Korea Selatan pada Piala Asia, Januari lalu, diundi Gol Terbaik Kejohanan.

Serangan terhadap Faisal berlaku beberapa hari selepas pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid, disamun dua individu ketika pemain kebangsaan itu juga selesai latihan. Terbaru, cermin kereta bekas kapten Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim, pecah.

Semua kejadian itu berlaku dalam tempoh seminggu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain menggesa pemain bola sepak yang bimbang akan keselamatan supaya membuat laporan, manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyeru pemain menggunakan pengawal keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.