
Pengerusi PH Selangor itu berkata, kemenangan Pang Sock Tao itu juga membuktikan pasukan kerajaan perpaduan gabungan terbaik untuk membela rakyat daripada pelbagai latar belakang.
“Ini adalah tanda sebagai rakyat Malaysia, kita saling memerlukan. Keputusan rakyat hari ini adalah isyarat mereka tidak mahu agen pemecah belah untuk mewakili mereka.
“Sebaliknya, rakyat inginkan penyatuan dan kebersamaan sebagai asas untuk membawa kemajuan ekonomi negeri dan negara yang dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup semua,” katanya dalam satu kenyataan.
Amirudin berkata, keputusan tersebut turut menunjukkan sokongan diberikan pengundi daripada pelbagai latar belakang kepada kerajaan perpaduan adalah bersifat menyeluruh.
“Kepercayaan orang Melayu kepada kerajaan perpaduan berkembang dan mekar, manakala sokongan daripada masyarakat Cina dan komuniti India serta Orang Asli pula terus mengukuh.
“Melihat kepada keputusan di peringkat lokaliti, sokongan yang diberikan kepada kerajaan perpaduan meningkat secara menyeluruh,” kata Amirudin.
Beliau juga memberi jaminan, pentadbirannya akan memastikan ikhtiar yang dibuat dalam tempoh kempen dilaksanakan sebaik mungkin bagi kemaslahatan warga Kuala Kubu Bharu dan Hulu Selangor.
“Kemenangan ini bukan suatu perkara yang hanya patut dibanggakan. Ini amanah rakyat yang harus menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai pemimpin yang diberikan kepercayaan untuk terus memajukan negeri dan memulihkan negara,” katanya.
Terdahulu, Pang diumumkan sebagai pemenang DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 3,869 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Beliau memperoleh 14,000 undi, menewaskan Perikatan Nasional (PN) diwakili Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi.
Manakala Parti Rakyat Malaysia (PRM) menerusi Hafizah Zainuddin serta calon bebas Nyau Ke Xin masing-masing mendapat 152 dan 188 undi.
Sementara itu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang juga perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada Pang atas kemenangannya itu.