29 disyaki GRO Vietnam ditahan di Manjung

29 disyaki GRO Vietnam ditahan di Manjung

Mereka antara 39 pendatang asing tanpa izin ditangkap dalam operasi ke atas empat premis.

ops gegar
Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata serbuan dilakukan di dua pusat hiburan karaoke dan dua pusat urut mendapati premis berkenaan melakukan kesalahan berulang. (Gambar Bernama)
MANJUNG:
Sebanyak 29 wanita warga Vietnam dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dan tukang urut, antara 39 pendatang tanpa izin yang ditahan imigresen dalam serbuan di empat premis sekitar Manjung.

Pengarah Imigresen Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik, berkata penahanan dilakukan selepas pemeriksaan dijalankan terhadap 82 individu dalam Op Gegar, bermula 11 malam tadi hingga 2 pagi tadi.

“Semua 39 pendatang tanpa izin yang ditahan terdiri daripada warga Vietnam, Myanmar, Indonesia, Thailand, dan China berusia 25 hingga 35 tahun.

“Kita telah melakukan serbuan di dua pusat hiburan karaoke dan dua pusat urut susulan aduan serta risikan mengenai aktiviti yang menawarkan khidmat GRO dan urut,” katanya pada sidang media.

Meor Hezbullah berkata, premis terbabit telah diserbu pada tahun lalu dan didapati melakukan kesalahan berulang, justeru pihaknya akan memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Hasil semakan juga mendapati lesen hiburan di pusat hiburan terbabit masih sah, namun kita akan buat semakan dengan pihak PBT sama ada premis ini memenuhi syarat-syarat ditetapkan oleh PBT untuk ia beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, semua warga asing itu dibawa ke depoh tahanan di Ipoh bagi tujuan siasatan lanjut kerana dipercayai telah melakukan pelbagai kesalahan imigresen di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di dalam negara dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan juga di bawah Akta Pasport 1966,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.