Tiada tekanan bagi sektor swasta semak gaji, kata MEF

Tiada tekanan bagi sektor swasta semak gaji, kata MEF

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata, sektor swasta menyemak gaji secara tetap, dengan banyak majikan melaraskan gaji setiap tahun.

Office Swasta
Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji terbesar dalam sejarah bagi penjawat awam dan mencabar sektor swasta untuk turut menaikkan gaji pekerjanya.
PETALING JAYA:
Komitmen kerajaan baru-baru ini untuk menaikkan gaji penjawat awam bukan suatu tekanan untuk diikuti sektor swasta, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata, sektor swasta kerap menjalankan semakan gaji, dengan banyak majikan melaraskan gaji setiap tahun.

“Kadar (kenaikan gaji sektor swasta), termasuk secara tahunan, secara amnya antara 5% dan 6%,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, syarikat-syarikat dalam kesatuan melaraskan gaji setiap tiga tahun.

“Gaji lazimnya dilaraskan kira-kira 6-10% setiap tiga tahun, kebanyakannya bergantung kepada prestasi kewangan (syarikat),” tambahnya.

Syed Hussain berkata demikian susulan pengumuman kenaikan gaji terbesar bagi penjawat awam, melepasi paras tertinggi sebelumnya iaitu 13%, oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1 Mei.

Anwar berkata, kenaikan itu akan dilaksanakan mulai Disember, dengan lebih RM10 bilion diperuntukkan untuk tujuan itu.

Perdana menteri turut mencabar sektor swasta supaya mengikut jejak langkah kerajaan dengan turut menaikkan gaji pekerjanya.

Sementara itu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyifatkan keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebagai “tepat pada masanya”.

Presiden Samenta William Ng berkata, langkah itu tidak memberi tekanan kepada syarikat swasta, sebaliknya menjadi contoh positif.

Ng yakin gaji sektor swasta akan meningkat dengan seiring dalam masa terdekat.

“Pasaran kerja di Malaysia sangat cekap. Apabila gaji dalam satu sektor naik, gaji dalam sektor lain akan naik secara automatik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.