Tak ghairah? Kita kempen cara lain, PAS tolak kajian Ilham Centre

Tak ghairah? Kita kempen cara lain, PAS tolak kajian Ilham Centre

PAS berkata strategi kempen PN kali ini diubah dengan memberi fokus rumah ke rumah kerana pendekatan itu lebih berkesan.

PAS berkata potensi PN menang di Kuala Kubu Baharu cerah melihatkan respons pengundi selepas hampir segenap kawasan dikunjungi.
HULU SELANGOR:
PAS menolak kajian badan pemikir Ilham Centre konon parti itu tidak ghairah berkempen untuk calon Perikatan Nasional (PN) di PRK Kuala Kubu Baharu.

Naib Presiden, Mohamad Amar Abdullah, berkata jentera parti itu dikerah dari seluruh negara, menggunakan strategi berbeza dengan memberi fokus kepada kempen rumah ke rumah berbanding ceramah kelompok.

“Semua jentera PAS bergerak seperti diarahkan cuma negeri lain lebih kepada membantu. Jentera tempatanlah yang membuat gerak kerja utama dan setakat ini Alhamdulillah seluruh UDM (unit daerah mengundi) bergerak dengan baik dan tiada masalah

“Saya tak pasti (dari) sudut apa dikaji (Ilham Centre) konon PAS tak ghairah bantu kempen calon PN…cuma kita kurangkan ceramah tidak seperti biasa.

“Mungkin dari sudut itu mereka tengok kita tidak agresif, kerana tumpuan utama kita kali ini banyak bergerak dari rumah ke rumah,” katanya ketika ditemui ketika kempen calon PN di pekan Kuala Kubu Bharu.

Terdahulu, Ilham Centre dalam kajian di lapangan mendapati PAS yang sering menjadi jentera dan tulang belakang PN dilihat tidak ghairah berkempen.

“Kali ini tidak nampak kelibat jentera PAS dari negeri-negeri lain selain Selangor berkubu di setiap pusat daerah mengundi (PDM).

“Penyertaan PAS Selangor juga tidak agresif, menyumbang kepada suasana sebegini rupa,” katanya yang turut membangkitkan prestasi ‘muram’ tiga wakil rakyat PN iaitu bagi Parlimen Hulu Selangor, DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.

Sementara itu, Amar berkata strategi kempen PN kali ini diubah dengan memberi fokus rumah ke rumah kerana pendekatan tersebut lebih berkesan di Kuala Kubu Baharu.

Katanya, bertemu pengundi secara bersemuka lebih berkesan dan boleh menyelesaikan banyak isu berbanding berceramah yang masanya terhad.

Menurutnya, potensi PN menang juga cerah melihatkan respons pengundi selepas hampir segenap kawasan dikunjungi.

“Potensi majoriti (menang) tidaklah besar sebab PRK biasanya pengundi tak ramai keluar mengundi, cuma kita harap supaya keluar hingga 80%.

“Kalau kurang itu masalah bagi peluang kita (menang) tetapi kalau (peratusan) keluar (mengundi) hingga 80% peluang kita besar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.