Sarawak boleh dapat manfaat anjur Sukan SEA 2027, kata pakar ekonomi

Sarawak boleh dapat manfaat anjur Sukan SEA 2027, kata pakar ekonomi

Geoffrey Williams berkata, inisiatif itu mewakili pengisytiharan cita-cita negeri untuk meningkatkan reputasi sebagai wilayah membangun.

Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, negeri itu mampu menganjurkan Sukan SEA ke-34 pada 2027.
PETALING JAYA:
Pakar ekonomi menyokong hasrat Sarawak menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34, menyatakan acara sukan dwitahunan itu berpotensi membawa manfaat ekonomi kepada negeri itu.

Geoffrey Williams berkata, hasrat ini mewakili pengisytiharan cita-cita Sarawak untuk meningkatkan reputasinya sebagai wilayah membangun.

“Ini selasar dengan inisiatif besar tempatan seperti Sarawak Airlines, bank milik kerajaan negeri, dan dana kekayaan negeri,” katanya kepada FMT.

Geoffrey Williams.

Williams berkata, Sarawak mahu menonjolkan dirinya sebagai destinasi pelaburan yang menarik dengan menunjukkan ia mampu membiayai acara sukan antarabangsa.

Penganjuran Sukan SEA berpotensi menarik pelaburan langsung asing yang besar ke negeri ini, tambahnya.

Williams juga berkata, kos penganjuran Sukan SEA akan lebih berpatutan daripada penganjuran acara sukan antarabangsa utama seperti Sukan Komanwel, dan mungkin membawa pulangan yang positif.

“Kesukaran mencari tuan rumah Sukan Komanwel baru-baru ini adalah disebabkan kos terlalu tinggi bagi Victoria, Australia, dianggarkan sebanyak AUD7 bilion (RM21 bilion).

“Kos (penganjuran) Sukan SEA jauh lebih rendah dan berpatutan, serta berkemungkinan besar menjana pulangan positif bersih,” katanya.

Dilaporkan sebelum ini, kos penganjuran Sukan SEA 2017 adalah kira-kira RM700 juta.

Sabtu lepas, Sarawak menyatakan kepada kerajaan persekutuan minatnya menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 pada 2027, sama ada secara sendiri atau bersama.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak mampu menganjurkan temasya sukan itu, merujuk ketersediaan kemudahan yang sesuai untuk menampung acara berskala besar.

Ahamed Kameel Mydin Meera.

Pakar ekonomi Ahamed Kameel Mydin Meera daripada Universiti Sultan Azlan Shah turut menyokong usaha itu dengan berkata, ia mampu membawa manfaat berpanjangan kepada Sarawak.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran, kejayaan ekonomi temasya itu bergantung kepada keupayaan negeri menampung perbelanjaannya.

Katanya, dengan penganjuran yang betul, temasya itu boleh membawa manfaat kewangan dan lain-lain kepada Sarawak.

“Kemudahan dan prasarana sukan yang lebih baik juga akan meningkatkan pelancongan masa depan dan memberikan manfaat kepada penduduk tempatan lama selepas temasya itu berakhir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.