KPT rangka kokurikulum AI untuk universiti, manfaat kementerian

KPT rangka kokurikulum AI untuk universiti, manfaat kementerian

Penggunaan kecerdesan buatan dilihat mampu meningkatkan kecekapan dalam sektor kerajaan.

ai
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya akan merangka kokurikulum AI untuk kegunaan universiti. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan merangka kokurikulum kecerdasan buatan (AI) dengan kerjasama pemain industri untuk digunakan pihak universiti, yang turut memanfaatkan semua kementerian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, berkata penggunaan teknologi itu juga dilihat mampu meningkatkan kecekapan dalam sektor kerajaan.

“Bukan sahaja tingkat efisien sektor kerajaan, tapi (tingkat kecekapan) antara semua kementerian. Itu paling mustahak kerana apa yang kita bincang bukan sahaja libatkan alatan, aplikasi tapi libatkan satu kementerian.

“Tugas KPT untuk kita merangka kokurikulum terbaik dan kerjasama dengan pihak lain khususnya industri,” katanya kepada media selepas Majlis Malaysia Artificial Intelligence (AI) Nexus 2024 – Boosting the Future (MY AI NEXUS) di Pusat Dagangan Dunia.

Zambry berkata, ketika ini pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam penggunaan AI kerana teknologi itu dapat meningkatkan kualiti dan keselamatan makanan yang merupakan keutamaan dalam sektor agromakanan.

Dalam majlis itu, turut dilancarkan Fakulti Kecerdasan Buatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menjadi fakulti pertama dengan pengkhususan AI dalam negara.

Mengulas perkara itu, Zambry berkata pelancaran Malaysia Artificial Intelligence (AI) Nexus dan Fakulti AI UTM adalah konsep bagi memastikan perancangan AI dapat dilakukan secara bersama merentasi kementerian dan universiti.

“Ini pendekatan menyeluruh kerajaan yang tidak lagi kita bergerak secara solo. Pada dunia AI…dunia luas, besar yang memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pemain industri. Dalam konteks universiti ia turut melibatkan universiti awam dan swasta,” katanya.

“Ini detik bersejarah dalam negara kita. Kerana semua dapat kerjasama dalam menjayakan misi negara, angkat AI tinggi ke persada antarabangsa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.