Kilang guna sijil halal tamat tempoh, pau dan kopi RM30,000 disita

Kilang guna sijil halal tamat tempoh, pau dan kopi RM30,000 disita

KPDN Perak turut menahan seorang lelaki tempatan 50 tahun yang dipercayai pemilik kilang itu dan merakam keterangannya.

KPDN Perak bersama Jabatan Agama Islam Perak menyerbu sebuah kilang beroperasi sejak lebih 50 tahun lalu dan mempunyai empat cawangan yang menggunakan sijil halal tamat pada September 2022. (Gambar KPDN Perak)
IPOH:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah kilang memproses pau dan kopi di Tanjung Malim yang menggunakan sijil halal tamat tempoh semalam.

Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata, kilang beroperasi sejak lebih 50 tahun lalu dan mempunyai empat cawangan itu didapati masih menggunakan sijil halal tamat pada September 2022.

Katanya, operasi bersepadu bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hasil semakan ke atas pemegang sijil halal masih menggunakan logo halal, walaupun sudah tamat tempoh.

“Pengusaha pau tersebut dinasihati JAIPk untuk memperbaharui permohonan sijil halal, namun perkara tersebut tidak diendahkan.

“KPDN menahan seorang lelaki tempatan 50 tahun yang dipercayai pemilik kilang tersebut dan keterangannya dirakam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dengan menyita pau dan kopi dianggarkan bernilai RM30,000 kerana menggunakan logo halal tanpa diperakui JAIPk.

Kes disiasat bawah Perintah 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.