Tipu beli saham lebih RM17 juta, penganggur mengaku tak salah

Tipu beli saham lebih RM17 juta, penganggur mengaku tak salah

Daniel Wong Jit Kiang didakwa bersubahat dengan Gordon Toh Chun Toh untuk menipu Multi-code Electronics Industries (M) Bhd dalam pembelian 11.1 juta unit sahamnya.

mahkamah kl
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azrul Darus tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
KUALA LUMPUR:
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersubahat dengan bekas pengarah urusan mendiang Gordon Toh Chun Toh berhubung pembiayaan pembelian saham lebih RM17 juta pada 17 tahun lalu.

Daniel Wong Jit Kiang, 69, didakwa bersubahat dengan Toh untuk menipu Multi-code Electronics Industries (M) Bhd menggunakan RM17.552,275.20 juta daripada dananya antara 26 dan 28 Mac 2007 bagi membiayai pembelian 11.1 juta saham Multi-Code oleh Ace Prelude Sdn Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kenanga Investment Bank Berhad, Taman Pelangi, Johor Bahru antara 26 dan 28 Mac 2007.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 122C(c) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dibaca bersama Seksyen 87A(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 88B akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1 juta dan maksimum penjara 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC), Hashley Tajudin tidak menawarkan jaminan kerana ia kesalahan tidak boleh dijamin, namun peguam Wan Shahrizal Wan Ladin mewakili Wong memohon jaminan rendah kerana anak guamnya diisytiharkan muflis, selain menghidap penyakit jantung.

“Saya mohon mahkamah mengguna pakai budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin dan sekiranya jaminan dibenarkan, saya mohon jaminan tidak membebankan mengambil kira faktor usia tertuduh dan beliau bankrup,” kata peguam.

Hakim Azrul Darus tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sementara itu, SC dalam kenyataan memaklumkan Wong ditahan semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (klia2) sekembalinya dari Singapura.

Katanya, dia ditahan dengan bantuan Interpol, Jabatan Hal Ehwal Komersial (di bawah Pasukan Polis Singapura dan Aviation Security (AVSEC) Malaysia Airports Holdings Berhad.

“Wong melarikan diri selama 15 tahun, walaupun banyak usaha untuk mengesannya dan dua waran tangkap berasingan dikeluarkan terhadapnya pada 2009 dan 2019.”

Sebelum ini, Toh yang juga warganegara Singapura didakwa pada 2009 atas kesalahan utama itu dan tuduhan alternatif melakukan kesalahan pecah amanah.

Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan alternatif dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM1 juta. Tetapi, dia meninggalkan dunia sebelum rayuannya didengar Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.