
Nelson, yang juga setiausaha rendah Perbendaharaan AS untuk terorisme dan risikan kewangan, berkata sekatan masih dikuat kuasakan.
Beliau berkata, tindakan dilaksanakan bertujuan “menggalakkan perubahan tingkah laku”, dan apabila pihak jabatannya mendapati ada perubahan sedemikian, syarikat berkenaan akan dikeluarkan daripada senarai.
Katanya, sekatan menyaksikan wang dalam akaun AS atau akaun koresponden AS disekat atau dibekukan, justeru menghalang syarikat tersebut mengakses dana.
“Dan cukup mengganggu kemampuan anda melakukan perniagaan rentas sempadan kerana ia sangat-sangat sukar melepasi titik sentuh sistem kewangan AS,” katanya dalam wawancara bersama beberapa media.
Nelson berkata, sekatan menjadi alat berkuasa dan pihak jabatan mendapati ia cekap dalam konteks melaksanakan gangguan aktiviti memacu keuntungan atau penyediaan modal.
“Daripada perspektif itu, kami fikir sudah tentu ia mengesankan.
“Namun, saya fikir perkara lebih berkesan lagi pada hujungnya adalah perkongsian dengan bidang kuasa dan mengupayakan anti pengubahan wang dan menentang pembiayaan ‘rejim’ keganasan supaya lebih berdaya tahan.”
Perbendaharaan AS mengenakan sekatan terhadap empat syarikat berpangkalan di Malaysia pada Disember.
Dilaporkan, syarikat berkenaan menyediakan komponen bagi program persenjataan Iran.
Baru-baru ini, Washington mengenakan sekatan susulan menyasarkan Iran, termasuk dron Iran digunakan Rusia dalam perang dengan Ukraine, dengan AS mahu meningkatkan tekanan terhadap Tehran selepas menyerang Israel.
Nelson berada di Malaysia melaksanakan agenda Perbendaharaan AS memerangi pembiayaan keganasan dan keuntungan dijana untuk Iran dan proksinya.
Terdahulu, Reuters melaporkan berlaku peningkatan pergerakan wang kepada Iran dan proksinya, termasuk Hamas, menerusi sistem kewangan Malaysia.
Beliau juga berada di negara ini bagi membincangkan langkah menggugat keupayaan Rusia terus berperang dengan Ukraine.