Rugi lebih RM2 bilion setahun, kerajaan fokus atasi isu air tak berhasil

Rugi lebih RM2 bilion setahun, kerajaan fokus atasi isu air tak berhasil

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata pemberian geran padanan bagi membantu operator air menangani masalah NRW dengan lebih berkesan.

Fadillah Yusof berkata kerajaan persekutuan akan memberikan geran padanan kepada kerajaan negeri dengan kadar air tidak berhasil melebihi 5%. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang memberi tumpuan terhadap usaha menyelesaikan isu kadar air tidak terhasil (NRW) di seluruh negara yang menyebabkan kerugian lebih RM2 bilion setahun.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata usaha itu antaranya melibatkan pemberian geran padanan bagi membantu operator air menangani masalah NRW dengan lebih berkesan dan mampan.

“Cabaran utama ialah paip lama yang bocor, rosak dan sebagainya akan berlakulah NRW, di mana air sudah proses tetapi hilang begitu saja disebabkan kebocoran dan ini memerlukan dana begitu besar untuk gantikan paip lama.

“Sebab itu salah satu strategi kita, mana-mana kerajaan negeri ada NRW lebih 5%, kerajaan persekutuan bantu dengan memberi geran, manakala yang sudah baik akan diberi secara pinjaman untuk gantikan paip lama dan ini salah satu usaha dan fokus kita sehingga dapat selesaikan masalah ini.”

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Pemimpin Masa Depan Kelestarian Air 2024: Memacu Impak untuk Daya Tahan Air di sini.

Terdahulu, Fadillah dalam ucapannya berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 menggariskan objektif strategik untuk meningkatkan keselamatan dan kemampanan air yang diselaraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) nombor enam (SDG 6), yang secara spesifik menyasarkan untuk meningkatkan liputan air bersih dan mengurangkan NRW bagi menyokong infrastruktur air berdaya tahan.

Menteri tenaga dan transformasi air itu turut menekankan dasar berpandukan data dan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan diperlukan bagi mewujudkan pengurusan air mampan.

“Inisiatif seperti pusat data air berpusat yang bertujuan menambah baik proses membuat keputusan dan menggalakkan pengurusan sumber berkesan merupakan cara strategik ke depan.”

Mengenai simposium hari ini, Fadillah berkata, acara itu bermatlamat menangani isu kritikal keselamatan air dan peranan penting pengurusan perniagaan air, di samping memupuk kerjasama merentas sektor bagi penyelesaian inovatif.

“Fokus kami untuk memastikan akses kepada air minuman dan sanitasi selamat, pengurusan sumber air mampan, air sisa dan ekosistemnya.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita mesti menyediakan platform yang membolehkan semua pihak berkepentingan mengambil bahagian secara aktif dalam memacu aspirasi ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.