PRK KKB: Loke nafi menteri guna kereta rasmi berkempen

PRK KKB: Loke nafi menteri guna kereta rasmi berkempen

Setiausaha agung DAP berkata jika pembangkang ada bukti kesalahan pilihan raya ia perlu dilaporkan bukan menunggu selepas tamat PRK.

Anthony Loke
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, pihaknya mahu pembangkang lapor kesalahan pilihan raya yang didakwa dilakukan merujuk penggunaan jentera kerajaan.
HULU SELANGOR:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menolak dakwaan menteri menggunakan kereta rasmi ketika berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu.

“Mereka tidak salah guna (kereta rasmi). Contohnya, saya hadir program rasmi kerajaan pada awalnya kerana tugasan rasmi. Saya bukannya datang Kuala Kubu Baharu sepanjang hari.

“Tadi, saya ada program rasmi di Kuala Lumpur. Jadi, selepas program rasmi itu sudah tentu kenderaan, pemandu mengikut saya untuk bawa saya ke sini (majlis oleh akademi memandu).

“Jadi, saya rasa ini adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan, bukan menyalahgunakan,” katanya selepas menghadiri majlis.

Katanya, mana-mana pihak yang rasa ia sesuatu yang menyalahi apa-apa peraturan boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Loke, yang juga setiausaha agung DAP, berkata kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, baru-baru ini disifatkan ‘aneh’ kerana pembangkang menyatakan hanya akan memfailkan petisyen jika kalah PRK Kuala Kubu Baharu.

Katanya, jika Pakatan Harapan (PH) melakukan sebarang kesalahan, pembangkang sepatutnya menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa ketika tempoh berkempen berlangsung, bukan menunggu selepas pilihan raya tamat.

“Yang saya aneh…dia (Perikatan Nasional) kalau kalah baru buat (petisyen), kalau mereka menang maksudnya kita tak salah ke?” katanya.

Pada Selasa, Takiyuddin berkata Perikatan Nasional akan memfailkan petisyen pilihan raya jika PH menang PRK Kuala Kubu Baharu selepas mendakwa gabungan itu mempunyai bukti rasuah dan penyalahgunaan jentera kerajaan.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PH Steven Sim dan calon, Pang Sock Tao menafikan dakwaan sedemikian, sambil menegaskan gabungan berkenaan mematuhi undang-undang pilihan raya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh, berkata sesiapa berhak memfailkan petisyen jika mereka tidak berpuas hati dengan keputusan PRK, termasuk dakwaan salah laku.

Katanya, petisyen mesti difailkan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Pada Ahad, kumpulan pemerhati pilihan raya, Bersih, menyeru menteri tidak salah guna jentera kerajaan kerana ia tidak adil kepada lawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.