Zulkafperi, Rashid bukan lagi ahli Bersatu, kata Hamzah

Zulkafperi, Rashid bukan lagi ahli Bersatu, kata Hamzah

Hamzah Zainudin berkata dua wakil rakyat itu terlucut keahlian kerana berkempen untuk PH pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Hamzah Zainudin berkata surat pemberitahuan status keahlian akan diserah kepada Dr Zulkafperi Hanapi dan Abdul Rashid Asari pada minggu depan.
HULU SELANGOR:
Keahlian Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanapi dan Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari dalam Bersatu terhenti secara automatik selepas mereka menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) pada PRK Kuala Kubu Baharu, kata Hamzah Zainudin.

Setiausaha agung Bersatu mendakwa susulan perkembangan itu kedua-duanya perlu mengosongkan kerusi Parlimen dan DUN bagi membolehkan PRK diadakan.

“Dua wakil rakyat Bersatu berceramah di pentas PH dalam kempen KKB, kalau ikut perlembagaan kita (Bersatu) secara automatik (keahlian) mereka ini terhenti,” katanya selepas menghadiri ceramah Perikatan Nasional (PN) di Bandar Utama Batang Kali malam tadi.

“Mereka terhenti menjadi ahli maka dalam akta (lompat parti) telah diluluskan, kawasan mereka juga terpaksa dia lepaskan.”

Hamzah berkata, surat status keahlian Zulkafperi dan Rashid akan diserahkan selepas pengesahan dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) minggu depan.

Malam tadi, FMT melaporkan Zulkafperi dalam ceramah PH di Ampang Pecah menyeru pengundi DUN Kuala Kubu Baharu menyokong calon kerajaan perpaduan Pang Sock Tao, dengan berkongsi pengalaman beliau berkhidmat tanpa dana.

Wakil rakyat pengggal pertama itu berkata, bukan mudah menjadi Ahli Parlimen apabila tidak banyak yang dapat beliau lakukan untuk kawasannya selaku pembangkang kerana tidak mendapat peruntukan.

“Selama setahun saya dapat kecaman rakyat Tanjong Karang, tak berfungsi sebagai Ahli Parlimen, kenapa tak boleh lakukan apa-apa,” katanya.

Zulkafperi salah seorang daripada enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran Anwar Ibrahim, selain Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Mac lalu, Rashid pula menyatakan sokongan kepada pentadbiran kerajaan perpaduan Selangor diketuai Menteri Besar Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata Bersatu juga sudah membuat keputusan membabitkan keahlian Suhaili yang bakal disahkan pada mesyuarat MPT sama.

“Kes Suhaili sudah ada keputusan cuma nak buat pengesahan, kita akan lakukan tindakan berdasarkan perlembagaan parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.