Polis harap analisis cap jari jejak suspek simbah asid

Polis harap analisis cap jari jejak suspek simbah asid

Pengarah JSJ Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini tiada tangkapan baharu melibatkan kes simbah asid Faisal Halim.

Pengarah JSJ Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain berkata rakaman CCTV tidak banyak membantu menjejak suspek kes serangan asid terhadap pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim.
PETALING JAYA:
Polis sedang menganalisis cap jari diekstrak di pusat beli-belah bagi mengesan suspek dalam kejadian pemain bola sepak Selangor FC Faisal Halim disimbah asid, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Shuhaily Mohd Zain, berkata semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek ada menyentuh beberapa tempat.

“Kita masih menunggu analisis cap jari ini, sekiranya itu memberi gambaran yang positif insya-Allah mungkin kita dapat mendekatkan diri kita kepada suspek terbaru.

“Ada beberapa tempat yang mana daripada hasil semakan CCTV menunjukkan suspek ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat, kita dah ekstrak beberapa cap jari yang ditinggalkan di situ,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat beli-belah yang menjadi lokasi kejadian itu.

Shuhaily berkata, setakat ini belum ada tangkapan terbaru dibuat berhubung siasatan kes berkenaan.

“Kalau nak ditanya mengenai suspek kita tangkap tempoh hari, kita masih menjalankan soal siasat dan benda masih di peringkat permulaan untuk saya kongsi apa-apa perkembangan.

“Tiada tangkapan terbaru,” katanya.

Selain analisis cap jari polis turut menggunakan rakaman CCTV.

“Tetapi, pada peringkat awal kita tak boleh kenal pasti daripada sudut wajah dan sebagainya sebab dia pakai topi dan kedudukan kamera tak beri gambaran jelas mengenai wajah suspek,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang pada 5 Mei, pemain Harimau Malaya yang juga penjaring gol tercantik Piala Asia itu dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid ke arahnya.

Kejadian menyebabkan beliau mengalami lecur di beberapa bahagian badan iaitu sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

Faisal kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta dan dilaporkan mengalami kelecuran tahap empat.

Tiga hari sebelum itu, pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid dilaporkan cedera selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.