Persatuan Bolasepak Singapura doa Faisal segera sembuh

Persatuan Bolasepak Singapura doa Faisal segera sembuh

Badan induk bola sepak negara jiran itu turut kecam sebarang bentuk keganasan terhadap pemain dan pegawai.

Faisal Halim
Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) bersolidariti bersama pemain Harimau Malaya, Faisal Halim yang diserang asid pada 5 Mei. (Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) mendoakan agar pemain sayap sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim cepat sembuh dan pulih sepenuhnya selepas cedera teruk dipercayai disimbah asid.

FAS berkata, ia berharap untuk melihat Faisal kembali ke padang.

“FAS bersolidariti dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mengecam sebarang bentuk keganasan terhadap pemain dan pegawai,” kata FAS menerusi hantaran di laman media sosialnya.

Pemain berusia 26 tahun yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ oleh peminatnya mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan, susulan insiden di sebuah pusat beli-belah, pada 5 Mei.

Faisal menjalani dua pembedahan dan kini berada dalam fasa rawatan rekonstruktif, yang melibatkan pembaikan struktur dan pemulihan struktur badan pemain itu.

Ini merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Akhyar Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di Kuala Terengganu.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara berterusan apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru, pada Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.