Perangi berita palsu, Meta bangun ‘WhatsApp Chatbot’

Perangi berita palsu, Meta bangun ‘WhatsApp Chatbot’

Fahmi Fadzil berkata aplikasi itu berperanan bagi semakan kesahihan fakta dan maklumat terhadap apa jua mesej disebarkan dalam WhatsApp.

FAHMI FADZIL
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata Chatbot itu mampu memberi reaksi setiap pertanyaan dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil.
HULU SELANGOR:
Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Meta Platforms Inc (Meta) sedang membangunkan kemudahan ‘WhatsApp Chatbot’ yang akan dilancarkan hujung bulan ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata kemudahan Chatbot menerusi aplikasi WhatsApp milik Meta itu akan berperanan sebagai platform bagi semakan kesahihan fakta dan maklumat oleh pengguna, terhadap sebarang mesej disebarkan di aplikasi berkenaan.

Katanya, beliau sudah mencuba dan berpuas hati dengan aplikasi itu, namun ketika ini ia memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan beberapa aspek teknikal bersama Meta, sebelum boleh dilancarkan.

“Kemudahan ini kita bangunkan kerana banyak mesej-mesej tidak benar, fitnah disebarkan menerusi WhatsApp, jadi kita pilih (untuk) letakkan penyelesaian di aplikasi itu juga. Pengguna boleh berkongsi dengan Chatbot (mengenai) sebarang mesej diterima untuk dipastikan kesahihannya, dan akan mendapat maklum balas dalam tempoh satu atau dua minit.

“Untuk jawapan semakan kesahihan oleh Chatbot itu, kita bekerjasama dengan laporan daripada kumpulan JomCheck iaitu melibatkan beberapa NGO, termasuk MyCheck daripada Bernama yang mempunyai standard amat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan, berkata kemudahan WhatsApp Chatbot itu mampu memberi reaksi dan maklum balas kepada setiap pertanyaan pengguna dalam pelbagai bahasa utama antaranya bahasa Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil.

“Namun, ketika ini WhatsApp Chatbot hanya berdasarkan teks…maknanya kalau kita hantar dokumen, video atau gambar, dia belum ada lagi kemampuan untuk semak dan sahkan, tetapi saya harap pada masa depan akan ada kemampuan itu,” katanya.

Sementara itu beliau berkata pihak kementerian juga sedang berbincang dengan syarikat telco dalam usaha mewujudkan inisiatif pelan 5G RAHMAH buat golongan mahasiswa di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.