Penyanyi pop yeh yeh, A Halim meninggal dunia

Penyanyi pop yeh yeh, A Halim meninggal dunia

A Halim atau nama sebenarnya Abdul Halim Mohammad Diah dilapor meninggal akibat strok yang dialami sekian lama.

a halim
Penyanyi era 60-an, A Halim meninggal dunia di Pasir Gudang hari ini pada usia 76 tahun. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Penyanyi irama pop yeh yeh, A Halim meninggal dunia di Hospital Penawar, Pasir Gudang, hari ini.

Berita pemergian A Halim atau nama sebenarnya Abdul Halim Mohammad Diah, 76, disahkan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Abdul Jamil, yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.

“Saya mewakili Seniman mengucapkan salam takziah pada seluruh keluarga Allahyarham A Halim yang telah pergi meninggalkan kita. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Terima kasih atas jasa beliau yang pernah menghiburkan seluruh peminat seni muzik suatu ketika dahulu,” katanya kepada Bernama.

Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah menerusi catatan di Facebook, memaklumkan permata industri hiburan tanah air sekitar 60-an itu telah kembali ke Rahmatullah, pada 10.30 pagi tadi akibat strok yang dialami sekian lama.

Menurutnya sepanjang pembabitan dalam dunia seni, A Halim turut bernyanyi bersama beberapa kumpulan kugiran antaranya De’ Fictions, The Wanderers, dan The Wisma.

Allahyarham turut merakam beberapa buah album antaranya Album Hitam Manis, Ep Gadis Buta, dan Salam Mesra Dari A Halim.

Antara lagu dendangan Allahyarham ialah Doa Dan Harapan, Dendang Terakhir, Kawan Lama, Kan Hilang Nanti, Kisah Dan Tauladan, Ku Tetap Kasih, Cenderawasih serta Budi Pekerti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.