
Keputusan ini dikongsi oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) di media sosial, yang memuat naik gambar Kohila di luar Mahkamah Tinggi bersama pasukan guamannya yang diketuai Ambiga Sreenevasan.
“Mahkamah memutuskan aktivis dan bekas pekerja BNM (Kohila) perlu dibayar pampasan sebanyak RM366,062 dan kos sebanyak RM 50,000,” menurut catatan PSM di X.
Pada 29 Mac, Mahkamah Tinggi mendapati BNM bertanggungjawab atas pemecatan Kohila tujuh tahun lepas disebabkan dakwaan salah laku berkaitan dengan penglibatannya dalam kegiatan politik.
Hakim Ahmad Bache berkata, Kohila tidak diberi hak untuk didengar, melanggar keadilan asasi, ketika siasatan dalaman BNM serta proses rayuan seterusnya.
“Disebabkan tindakan yang tidak adil dan tidak munasabah ini, (Kohila) mengalami kerugian dan kerosakan,” kata Ahmad dalam alasan penghakiman ringkas yang disampaikan untuk membenarkan saman Kohila.
Beliau turut membenarkan deklarasi bahawa pemecatan Kohila melanggar kontrak pekerjaannya.