NUTP mohon umum keputusan SPM sebelum cuti sekolah

NUTP mohon umum keputusan SPM sebelum cuti sekolah

NUTP berharap KPM mempertimbangkan cadangannya mengumumkan keputusan SPM pada 23 Mei ini, dua hari sebelum cuti persekolahan bermula.

semakan spm dalam on9
KPM mengumumkan calon SPM boleh mendapatkan slip keputusan dari sekolah bermula 10 pagi 27 Mei ini, manakala semakan keputusan dalam talian untuk mendapatkan slip mulai 10 pagi 27 Mei hingga 6 petang 2 Jun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 pada 27 Mei ini diawalkan sebelum cuti sekolah bermula.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berharap KPM mempertimbangkan cadangan NUTP mengeluarkan keputusan SPM pada 23 Mei ini, sebelum cuti persekolahan bermula 25 Mei.

“Kebanyakan guru telah berada di kampung halaman dan ada juga guru-guru merancang percutian bersama keluarga. NUTP amat berharap KPM dapat membuat pertimbangan semula agar keputusan SPM diumumkan sebelum cuti persekolahan bermula,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, KPM dilaporkan berkata, calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan dari sekolah masing-masing bermula 10 pagi 27 Mei ini.

Calon sekolah dan persendirian juga boleh membuat semakan keputusan dalam talian untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan mulai 10 pagi 27 Mei hingga 6 petang 2 Jun ini.

Semakan juga boleh dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menghantar “SPM Nombor Kad Pengenalan Angka Giliran” ke 15888. Sistem itu akan diaktifkan mulai 10 pagi 27 Mei hingga 6 petang 2 Jun nanti.

Seramai 395,870 calon berdaftar menduduki SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara mulai 5 Dis hingga 7 Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.