
Katanya, siasatan mendapati kapal itu sebelum ini dimiliki ZIM, bagaimanapun dijual kepada syarikat perkapalan MV Rotterdam yang berpangkalan di Hong Kong yang tidak mempunyai kaitan dengan Israel.
“Kita nak tegaskan syarikat perkapalan ZIM tak dibenarkan berlabuh di Malaysia, tapi kalau kapal dah tukar milik kepada pihak lain, itu jadi hal lain, ia jadi milik syarikat lain,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan dan Majlis Erat Kasih Madani.
Loke mengulas laporan sebuah portal mendakwa kapal kargo milik syarikat Israel dikesan berlepas dari Malaysia minggu lalu.
Menurut laporan itu, kapal tersebut berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April, sebelum berlepas sehari kemudian menuju ke Pelabuhan Shantou, China, dengan menggunakan bendera negara Afrika, Liberia.
Sementara itu, berkaitan insiden pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel di Jalan Sultan Ismail, Loke mengarahkan Prasarana meneliti jajaran berisiko bagi mengelak kejadian sama berulang.
Katanya, perkara itu perlu kerana kebanyakan laluan monorel dan LRT berada di kawasan terbuka dalam bandar.
“Tapi kerja penyelenggaraan ini terletak bawah bidang kuasa PBT (pihak berkuasa tempatan) dan ada juga kawasan persendirian, kita tak boleh sesuka hati masuk kawasan itu buat penyelenggaraan.
“Namun sebagai operator kita kena proaktif dan minta Prasarana buat satu siasatan lebih terperinci untuk melihat kawasan berisiko dan terus berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam insiden Selasa lalu, seorang lelaki maut manakala dua lagi mangsa cedera selepas sebatang pokok tumbang akibat hujan lebat serta angin kuat.