
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan pegawai tertinggi sekatan Jabatan Perbendaharaan AS Brian Nelson, yang dilaporkan Reuters berkisar tentang risiko sekatan berikutan peningkatan dana disalurkan kepada Iran dan proksinya melalui Malaysia.
Saifuddin berkata, beliau menegaskan pendirian Malaysia mengenai sekatan antarabangsa pada pertemuan dengan Nelson dan delegasinya awal hari ini.
“Saya menegaskan, kita hanya akan mengiktiraf sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Delegasi AS menghormati pendirian kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis di sini.
Saifuddin juga berkata, pertemuan dengan Nelson dan delegasinya produktif kerana beliau dapat berkongsi pendirian rasmi negara dari sudut keselamatan.
Menteri itu berkata, beliau telah menyatakan komitmen Malaysia untuk memerangi pembiayaan keganasan, dengan pelan strategik yang jelas tersedia untuk menangani pembiayaan haram dan pengubahan wang haram.
“Dasar dan strategi yang kita gariskan mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya menambah, Malaysia sentiasa terbuka mengadakan libat urus dengan AS.
Bagaimanapun, katanya, beberapa kebimbangan yang dibangkitkan membabitkan individu dan syarikat tertentu di Malaysia perlu disemak oleh kementeriannya.
Semalam, Saifuddin berkata, beliau akan menjelaskan pendirian rasmi Malaysia mengenai isu berkaitan pembiayaan untuk Iran dan proksinya.
Reuters melaporkan, AS khuatir mengenai peningkatan dana yang disalurkan melalui sistem kewangan Malaysia kepada Iran dan proksinya, termasuk Hamas, yang mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia.
AS melabel Hamas sebagai organisasi pengganas.