Waspada suhu diramal cecah 40°C

Waspada suhu diramal cecah 40°C

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad berkata empat kawasan di Kelantan mencapai tahap 2 gelombang haba.

Cuaca tahun ini paling panas di Malaysia sejak 1998, dengan suhu di negeri seperti Kelantan, Perlis dan Kedah lebih tinggi berbanding negeri lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada susulan cuaca panas baru-baru ini.

Katanya empat kawasan di Kelantan mencapai tahap 2 gelombang haba, dengan suhu maksimum harian melebihi 37°C hingga 40°C sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Beliau berkata dua kematian akibat strok haba dilaporkan awal tahun ini membabitkan seorang lelaki 22 tahun di Pahang pada Februari lalu dan seorang kanak-kanak tiga tahun di Kelantan bulan lalu.

“Saya telah memanggil mesyuarat kedua Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan diadakan secepat mungkin bagi membincangkan persediaan negara berdepan cuaca panas dan kering,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi menggesa orang ramai sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan kualiti udara melalui aplikasi myCuaca, MyIPU, laman web rasmi MetMalaysia dan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka, yang boleh memburukkan lagi kualiti udara dan segera melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atau Jabatan Alam Sekitar.

Fenomena El Nino, yang biasanya mengakibatkan taburan hujan berkurangan di Asia akibat pemanasan Lautan Pasifik, kini menjejaskan negara dan mungkin berterusan hingga Julai ini.

Nik Nazmi berkata cuaca tahun ini paling panas di Malaysia sejak 1998, dengan suhu di negeri seperti Kelantan, Perlis dan Kedah lebih tinggi berbanding negeri lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.