Unicef gesa elaun jaga kanak-kanak sejagat

Unicef gesa elaun jaga kanak-kanak sejagat

Penyelidik Muhammed Abdul Khalid berkata penting untuk menyediakan sokongan kewangan pada 1,000 hari pertama yang kritikal dalam kehidupan kanak-kanak.

Muhammed Abdul Khalid yang menulis bersama tiga individu lain laporan Unicef ‘Living On The Edge’ membentangkan penemuan itu pada pelancaran media hari ini.
KUALA LUMPUR:
Unicef menggesa pengenalan elaun penjagaan kanak-kanak sejagat buat ibu untuk meningkatkan perluasan langkah perlindungan sosial bagi kanak-kanak di Malaysia.

Ketua penyelidik DM Analytics Muhammed Abdul Khalid mencadangkan elaun bulanan RM200 bagi ibu mulai mengandung sehingga anaknya berusia dua tahun.

“Kanak-kanak paling rentan. Negara berdepan masalah kekurangan zat makanan, jadi setiap kanak-kanak di Malaysia perlu menerima bantuan tunai dalam tempoh 1,000 hari pertama, termasuk ketika mereka masih dalam kandungan sehingga berusia dua tahun.

“Kosnya sedikit dan ia mudah dilaksanakan,” katanya semasa pelancaran laporan “Living On The Edge” Unicef di sini.

Muhammed menulis laporan itu bersama Timbalan Pengarah Penyelidikan DM Analytics Zouhair Rosli, Ketua Dasar Sosial Unicef Juanita Vasquez Escallon dan penyelidik kanan DM Analytics Maryam Halim.

Matlamat utama laporan itu untuk menawarkan pandangan berasaskan bukti dalam landskap pasca-Covid-19, khasnya mengenai kenaikan kos sara hidup.

Kajian itu meninjau 755 isi rumah berpendapatan rendah, mendedahkan 40% kanak-kanak dalam isi rumah terbabit kini di bawah garis kemiskinan.

Menurutnya walaupun kebanyakan ketua isi rumah sudah meneruskan kerja dan pendapatan keluarga meningkat, kadar kemiskinan kekal tinggi.

Laporan itu turut mencatatkan peningkatan 32% dalam median pendapatan isi rumah bulanan, mencecah purata RM3,000. Tetapi, bagi isi rumah diketuai wanita, pendapatan meningkat 23% kepada RM1,600, masih di bawah garis kemiskinan 2022 iaitu RM2,589.

Isi rumah diketuai orang kurang upaya (OKU) pula mencatatkan purata pendapatan bulanan terendah RM1,550.

Muhammed turut mencadangkan elaun sejagat buat OKU bagi memastikan tahap sekuriti pendapatan mencukupi, sambil melengkapkan penjagaan kesihatan dan langkah perlindungan pekerjaan sedia ada.

“Pada masa sama, perlu ada elaun lanjutan kepada penjaga utama ahli keluarga OKU.”

Katanya cadangan elaun sejagat itu akan menelan kos kurang daripada 0.2% keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, menjadikannya sangat berpatutan untuk dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.