
Kementerian Luar menerusi Wisma Putra berkata, serangan itu berlaku beberapa jam selepas Hamas menerima cadangan gencatan senjata daripada rundingan damai yang dibuat oleh Mesir dan Qatar, jelas menunjukkan keengganan Israel bekerjasama bagi tujuan keamanan.
“Rejim Israel bertekad meneruskan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin. Oleh yang demikian, Israel patut menerima kecaman keras daripada masyarakat antarabangsa,” menurut Kementerian Luar dalam kenyataan.
Wisma Putra berkata, serangan berterusan ke atas orang awam oleh Pasukan Pendudukan Israel (IOF) khususnya di Rafah, Gaza, adalah amat zalim, terutamanya bagi kanak-kanak, wanita dan mereka yang sedang berlindung di kem-kem yang sangat padat dan kini menjadi benteng perlindungan terakhir daripada pencerobohan Israel.
Masyarakat antarabangsa mesti menggandakan usaha untuk memastikan rejim Israel menghentikan tindakan jenayahnya yang disengajakan dan dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, menurut kenyataan itu.