
Che Abdullah @ Rashidi Che Omar berkata, keputusan untuk ‘melabur’ RM3.6 bilion dalam usaha sama dengan Aabar dibuat Najib, bukannya lembaga pengarah. Najib sebagai menteri kewangan ketika itu adalah pemegang saham tunggal SRC International.
Antara 2011 dan 2012, SRC International menerima pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, di mana kira-kira RM3.6 bilion dipindahkan ke akaun bank Switzerland. Dana itu kini dibekukan kerajaan Switzerland.
“Sebenarnya, kami (pengarah) menasihatkan pasukan pengurusan, yang mendakwa mempunyai komunikasi terus dengan perdana menteri, untuk mencairkan pelaburan ketika dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat (berbanding ringgit).
“Saya minta pelaburan itu dicairkan dalam tempoh setahun. Memandangkan ia tidak berlaku, saya meletak jawatan,” kata Abdullah dalam keterangannya.
SRC International memfailkan saman terhadap Najib dan bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil kerana menerima secara salah harta syarikat dan secara tidak jujur serta salah berkonspirasi menukar harta syarikat bagi kegunaan sendiri.
Saman itu pada asalnya membabitkan Abdullah dan bekas pengarah Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Ismee Ismail, Azhar Osman Khairuddin dan Suboh Yassin sebagai defendan bersama.
SRC International kemudian menggugurkan kes terhadap mereka. Tetapi, mereka disenaraikan sebagai pihak ketiga oleh Najib.
Abdullah memberitahu mahkamah bahawa Najib, yang dilantik sebagai penasihat emeritus, diberi “kuasa sangat luas” bawah perlembagaan syarikat.
Beliau berkata pengarah tiada kuasa menolak sebarang keputusan dibuat perdana menteri ketika itu, khasnya berhubung pelaburan RM3.6 bilion.
Bukan syarikat ‘biasa’
Abdullah juga memberitahu mahkamah bahawa SRC International tidak berfungsi sebagai syarikat “biasa”.
Dalam syarikat biasa, katanya semua keputusan diambil lembaga pengarah dan dibentangkan kepada pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunannya.
“Tetapi di sini, pemegang saham (Najib) memberi arahan dan lembaga pengarah menurutinya,” kata Abdullah.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Farhan Shafee mewakili Najib, Abdullah mengakui pengarah SRC International terikat secara sah untuk membuat keputusan demi kepentingan syarikat.
Katanya pengarah boleh membuat keputusan, tetapi “keputusan muktamad” ditentukan pemegang saham.
Perbicaraan di depan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.