
Beliau berkata, Malaysia akan menjadikan strategi diplomasi itu sebagai hadiah kepada rakan dagang, selain mengukuhkan hubungan luar, terutamanya dengan negara pengimport utama, seperti Kesatuan Eropah, India dan China.
“Dengan memperkenalkan ‘diplomasi orang utan’, ia secara langsung membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sentiasa komited terhadap pemuliharaan biodiversiti,” katanya dalam hantaran di X selepas merasmikan Forum Biodiversiti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia semalam.
Beliau berkata, banyak rakan dagangan dunia semakin bimbang tentang kesan komoditi pertanian terhadap iklim. Malaysia boleh membuktikan kepada masyarakat global bahawa negara sentiasa menjaga keseimbangan antara memenuhi keperluan keselamatan makanan dan menjaga alam sekitar, katanya.
Justeru, katanya, Malaysia berhasrat mewujudkan ‘diplomasi orang utan’ seperti China yang mengguna pakai pelbagai ‘diplomasi panda’ dengan banyak negara.
Johari berkata, Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan defensif terhadap soal minyak sawit, sebaliknya perlu menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia merupakan pengeluar sawit yang mampan serta komited menjaga hutan dan kelestarian alam.
“Oleh itu, saya mengalu-alukan syarikat besar sawit untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan bagi menjaga, memelihara dan memberi kesedaran kepada rakan global kita di samping menyediakan kepakaran teknikal mengenai spesies hidupan liar yang ikonik di Malaysia.
“Ini akan menjadi manifestasi bagaimana Malaysia memelihara spesies hidupan liar dan mengekalkan kemampanan hutan kita terutamanya dalam landskap perladangan kelapa sawit,” katanya.