Kereta pemain JDT Safiq Rahim kena pecah

Kereta pemain JDT Safiq Rahim kena pecah

Kejadian tersebut adalah ketiga membabitkan pemain bola sepak negara.

Keadaan cermin kereta pemain JDT, Safiq Rahim yang dipecahkan individu tidak dikenali menggunakan tukul dalam kejadian di Jalan Sri Gelam, Johor Bahru malam tadi.
JOHOR BAHRU:
Kereta pemain tengah pasukan bola sepak JDT Safiq Rahim dipecah individu tidak dikenali menggunakan tukul besi di Jalan Sri Gelam di sini malam tadi.

Menurut laporan polis yang dibuat Safiq di Balai Polis Larkin, insiden berlaku pada 10.05 malam ketika beliau memandu kereta Honda City dari Pusat Latihan JDT Sri Gelam menghala ke Pantai Lido.

Menurut Safiq, beliau telah didatangi sebuah motosikal yang ditunggang dua lelaki tidak dikenali dan pemboncengnya bertindak mengeluarkan tukul besi sebelum mengetuk bahagian belakang cermin kereta.

“Saya yang terkejut memberhentikan kereta… kedua-dua lelaki terbabit berhenti di hadapan kereta sambil menunjukkan tukul dan saya mengundurkan kereta kerana ketakutan.

“Kedua-dua lelaki tersebut meninggalkan tempat kejadian tidak lama kemudian, akibat kejadian ini cermin belakang kereta saya telah pecah,” katanya dalam laporan polis yang dibuatnya selepas insiden itu.

Sementara itu, polis memaklumkan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan masih mengesan suspek yang terlibat.

Pada Ahad lepas, negara digemparkan dengan insiden pemain kebangsaan Faisal Halim disimbah asid di pusat membeli-belah di Kota Damansara, Selangor sehingga menyebabkan kelecuran tahap empat.

Tonggak Selangor FC itu kemudian mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Insiden itu berlaku selang beberapa hari selepas seorang lagi pemain kebangsaan Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di kepala serta kaki selepas diserang dan disamun oleh dua individu di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.