DAP Sarawak enggan sokong usul hargai Taib

DAP Sarawak enggan sokong usul hargai Taib

Chong Chieng Jen berkata Taib Mahmud mungkin menyumbangkan kepada pembangunan Sarawak tetapi pentadbirannya sebelum ini diselubungi rasa sangsi.

Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata beliau dan Adun Pending Violet Yong tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul penghargaan kepada Taib Mahmud.
PETALING JAYA:
Dua Adun DAP Sarawak tidak akan menyokong usul bagi menghargai bekas ketua menteri dan Yang di-Pertua Negeri Taib Mahmud.

Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, mengulangi ucapan takziah kepada keluarga Taib tetapi katanya, beliau dan Adun Pending Violet Yong tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul berkenaan.

“Bukan diri saya untuk bercakap buruk mengenai orang yang sudah meninggal dunia. Taib mungkin menyumbang kepada pembangunan negeri tetapi pentadbiran ketika beliau menjadi ketua menteri masih diselubungi rasa sangsi.

“Atas sebab itu, saya tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan. Pendirian saya dan rakan saya Adun Pending bahawa kami tidak menyokong usul ini,” kata Adun Padungan dalam kenyataan.

Usul bagi menghargai Taib dibentangkan Premier Sarawak Abang Johari Openg awal hari ini dan disokong timbalannya Douglas Uggah Embas.

Taib meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 21 Feb lalu. Beliau adalah ketua eksekutif kerajaan negeri paling lama berkhidmat, memimpin Sarawak selama 33 tahun dari 1981 hingga 2014.

Beliau merupakan Ahli Parlimen kedua paling lama berkhidmat, mewakili Kota Samarahan selama 38 tahun dari 1970 hingga 2008.

Taib berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari 2014 hingga penghujung Januari lalu.

Beliau pernah berdepan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, tetapi pihak berkuasa berkata ia tidak dapat bertindak kerana kekurangan bukti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.