Bekas Adun DAP sedia kerjasama selepas timbalan menteri repot polis

Bekas Adun DAP sedia kerjasama selepas timbalan menteri repot polis

Satees Muniandy berkata beliau belum dipanggil untuk dirakam keterangan.

satees saraswathy
Bekas Adun Bagan Dalam Satees Muniandy menafikan ‘memula atau menularkan berita palsu’ mendakwa Timbalan Menteri Perpaduan K Saraswathy tidak membayar cukai.
PETALING JAYA:
Bekas Adun DAP Satees Muniandy sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya oleh K Saraswathy berhubung dakwaan timbalan menteri perpaduan itu tidak membayar cukai.

“Saya akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Saraswathy daripada PKR mendakwa bekas Adun Bagan Dalam itu membuat tuduhan tersebut dalam satu video dikongsi di media sosial.

Bagaimanapun, Satees menafikan ‘memula atau menularkan apa-apa maklumat tersebut’. Katanya, dia hanya merujuk laporan dua portal berita dengan salah satunya menamakan Saraswathy.

Berdasarkan laporan itu, Satees menyatakan bahawa ‘Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah orang yang bertanggungjawab untuk soalan mengenai perlantikan Saraswathy (sebagai timbalan menteri)’.

Katanya, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui adakah seorang yang disenarai hitam oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh dilantik sebagai senator atau timbalan menteri.

Satees, yang juga setiausaha Urimai turut mengulangi peringatan Anwar kepada LHDN pada Mac lalu untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak membayar cukai tanpa mengira status.

Beliau juga berkata, berdasarkan semakan, sekatan imigresen terhadap timbalan menteri itu masih wujud setakat Ahad lalu.

“Bagaimanapun, semakan pada hari ini mendapati sekatan itu telah dikeluarkan,” katanya.

Saraswathy membuat laporan polis semalam selepas satu poster tersebar di WhatsApp mendakwa beliau berhutang hampir RM190,000 dalam tunggakan cukai pendapatan, dengan sebuah portal berita kemudian menyiarkan dakwaan itu tanpa mengesahkannya.

Katanya, ‘berita palsu’ yang disebarkan itu untuk mencemarkan nama baiknya sebagai ahli politik dan timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan.

“(Ada) pihak berkonspirasi menyebarkan berita palsu tentang saya demi kepentingan diri atau kepentingan politik mereka.”

Ketua Polis Putrajaya, A Asmadi Abdul Aziz, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan Saraswathy susulan laporannya.

Katanya, polis akan memohon perintah menyiasat daripada timbalan pendakwa raya sebelum membuka kertas siasatan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.