Bayar kepada Malaysia sebahagian USD2.9 bilion penalti Goldman Sachs, Johari beritahu AS

Bayar kepada Malaysia sebahagian USD2.9 bilion penalti Goldman Sachs, Johari beritahu AS

Johari Ghani berkata, kerajaan Malaysia mengalami kerugian ekoran penglibatan bank itu dalam 'kegiatan penipuan'.

Johari Ghani berkata, Goldman Sachs akan dapat kembali menjalankan perniagaan seperti biasa selepas ini, manakala Malaysia akan terus dibebani dengan bayaran prinsipal dan faedah atas bon 1MDB. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Johari Ghani menggesa kerajaan Amerika Syarikat agar menyerahkan kepada Putrajaya sebahagian daripada denda dan penalti USD2.9 bilion yang dibayar oleh Goldman Sachs berhubung peranannya dalam kes 1MDB.

Dalam satu kenyataan kepada FMT, pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB itu berkata, Malaysia berhak menerima sedikit pampasan daripada jumlah yang dibayar oleh bank pelaburan berpangkalan di New York itu kepada pihak berkuasa AS.

“Kami menghargai usaha kerajaan AS dalam pemulihan dan penghantaran pulang dana 1MDB, tetapi (jumlahnya) jauh kurang daripada USD4.5 bilion yang dicuri daripada rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, (Malaysia) berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan, berbanding Goldman Sachs,” kata Johari, yang juga menteri perladangan dan komoditi.

Beliau berkata, bank itu akan dapat kembali menjalankan perniagaan seperti biasa, manakala Malaysia akan terus dibebani dengan bayaran prinsipal dan faedah atas bon tersebut.

“Malaysia akan mengambil masa bertahun-tahun, jika bukan berdekad, untuk menyelesaikan hutang 1MDB, yang akan menggunakan wang pembayar cukai,” katanya.

Goldman Sachs terlibat mengatur penjualan bon 1MDB bernilai USD6.5 bilion dan membenarkan USD4.5 bilion diseleweng, sambil memperoleh fi berjumlah USD600 juta.

Johari berkata, jumlah penyelesaian yang dipersetujui antara Goldman Sachs dan pentadbiran Muhyiddin Yassin empat tahun lepas tidak cukup untuk menampung kerugian disebabkan oleh “kegiatan penipuan yang dibolehkan berlaku dengan bantuan Goldman Sachs”.

“Jumlah penalti USD2.9 bilion yang dibayar oleh Goldman Sachs kepada kerajaan AS lebih daripada penyelesaian tunai USD2.5 bilion yang dibayar kepada kerajaan Malaysia, tidak termasuk jaminan pemulangan aset USD1.4 bilion dikaitkan dengan bon 1MDB yang masih dipertikaikan,” kata Johari.

Beliau berkata, Malaysia akan terus menuntut tunggakan USD1.4 bilion yang perlu dibayar bank itu menurut perjanjian penyelesaian.

Pada Isnin, Reuters melaporkan, kes jenayah oleh kerajaan AS terhadap Goldman Sachs ditamatkan secara rasmi selepas bank itu membayar penuh penalti USD2.9 bilion.

Dua bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner dan Roger Ng, telah didakwa dan disabitkan kesalahan atas peranan mereka dalam kes itu.

Ng, seorang rakyat Malaysia, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, manakala Leissner sedang menunggu hukuman dijatuhkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.