
Dalam respons menerusi e-mel kepada Bernama berikutan laporan ia memulakan penarikan vaksin Covid-19 di seluruh dunia kerana “lebihan vaksin terkini yang tersedia” sejak wabak itu, jurucakap AstraZeneca berkata, syarikat berkenaan mengambil keputusan memulakan penarikan balik “kebenaran pemasaran” untuk vaksin Vaxzevria di Eropah.
Jurucakap itu berkata, usaha AstraZeneca diiktiraf kerajaan seluruh dunia dan dianggap komponen penting menamatkan pandemik Covid-19 global.
“Kami amat bangga dengan peranan dimainkan Vaxzevria dalam menamatkan pandemik global,” kata jurucakap AstraZeneca.
Negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia memilih AstraZeneca sebagai sebahagian portfolio vaksin Covid-19 pada kemuncak wabak itu.
“Memandangkan pelbagai vaksin Covid-19 telah dibangunkan sejak itu, terdapat lebihan vaksin terkini yang tersedia,” kata jurucakap itu sambil menambah ini menyebabkan penurunan permintaan untuk Vaxzervria, yang tidak lagi dikeluarkan atau dibekalkan.
Merujuk anggaran bebas, jurucakap itu berkata, lebih 6.5 juta nyawa diselamatkan pada tahun pertama penggunaannya dan lebih tiga bilion dos dibekalkan ke seluruh dunia.
“Kami kini akan bekerjasama dengan pengawal selia dan rakan kongsi untuk menentukan jalan penyelesaian jelas bagi menamatkan bab ini dan sumbangan penting kepada pandemik Covid-19.”
Agensi Ubat Eropah (EMA) dalam kenyataan pada 27 Mac lalu berkata, Suruhanjaya Eropah (EC) menarik balik kebenaran pemasaran untuk Vaxzevria di Kesatuan Eropah (EU) pada tarikh sama.
EMA berkata, penarikan balik itu atas permintaan pemegang kebenaran pemasaran, AstraZeneca AB yang memberitahu komisen tentang keputusannya menghentikan pemasaran produk secara kekal atas sebab komersial.
Vaxzevria diberikan kebenaran pemasaran bersyarat di EU pada 29 Jan 2021 untuk imunisasi aktif terhadap Covid-19.