
Saifuddin berkata, beliau akan bertemu dengan Nelson yang juga setiausaha rendah Perbendaharaan AS untuk terorisme dan risikan kewangan, esok untuk mendengar perkara ingin disampaikan.
“Pada akhir mendengar pembentangan mereka…saya akan memberikan penjelasan ataupun ‘official position’ (pendirian rasmi) kerajaan tentang perkara yang tertentu. Itu akan berlaku pagi besok,” katanya.
Saifuddin bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani 14 kontrak bernilai RM2.156 bilion antara kementeriannya dengan syarikat tempatan, sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2024.
Beliau mengulas laporan Reuters berhubung kebimbangan AS terhadap dana digerakkan Iran kepada proksinya, termasuk Hamas, menerusi sistem kewangan Malaysia.
Mac lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia mempunyai hubungan dengan sayap politik Hamas, bukannya mana-mana kumpulan militan.
Bagaimanapun, AS menetapkan Hamas sebagai organisasi pengganas asing pada 1997.
Minggu lalu, Reuters melaporkan Nelson akan berkunjung ke Malaysia dan Singapura minggu ini dalam usaha Washington mengekang pembiayaan untuk Iran dan proksinya, serta sekatan dikenakan terhadap Rusia.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata pihaknya sedang menyegerakan pengedaran kamera badan kepada pegawai penguat kuasa.
Langkah itu berikutan proses perolehan berubah-ubah walaupun dana telah tersedia.
“Proses perolehan yang berubah-ubah beberapa kali…saya minta untuk diselesaikan segera dan kita jangkakan kalau ikut garis masa kita ‘first delivery’ harus berlaku dalam bulan Jun tahun ini juga. Saya akan terus pantau,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan bermula September ini, sejumlah 7,648 kamera badan akan dibekalkan kepada polis secara berperingkat.