
Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid melepas dan membebaskan Muhammad Abdul Rahman, 37, Mohd Fadzli Abd Razak, 44, dan Yusri Awang, 38, selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan mereka mempunyai niat bersama untuk mengedar dadah.
“Keterangan menunjukkan lelaki pertama dan kedua bukan pemilik kereta, malah mereka tidak ditahan dalam kenderaan itu serta tiada kesan cap jari mereka ditemui di bungkusan dadah berkenaan.
“Mahkamah mendapati tertuduh ketiga pula diprejudis akibat kelemahan siasatan walaupun kereta itu miliknya, selepas saksi pendakwaan gagal menyiasat secara menyeluruh.”
Terdahulu, ketiga-tiganya yang bekerja sendiri didakwa secara niat bersama mengedar 162.35g methamphetamine di tempat letak kenderaan depan Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil pada 1.55 tengah hari 1 Feb 2021.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39(B) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Muhammad diwakili peguam Ramzani Idris dan Haresh Mahadevan, manakala Fadzli diwakili Asmawi Ismail dan Yusri diwakili Andrew Lourdes.
Enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.