‘Kita tak campur tangan urusan syarikat bekal senjata’, kata Khaled

‘Kita tak campur tangan urusan syarikat bekal senjata’, kata Khaled

Menteri pertahanan menjawab gesaan agar kerajaan mengarahkan syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel keluar dari Malaysia ketika berlangsungnya pameran pertahanan.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pameran pertahanan yang sedang berlangsung itu dianjurkan sepenuhnya dan dibayar oleh sektor swasta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pertahanan Khaled Nordin menolak gesaan agar kerajaan mengarahkan syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel keluar dari Malaysia ketika berlangsungnya pameran pertahanan.

Khaled berkata Malaysia adalah sebuah ‘negara perdagangan bebas’ yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.

“Justeru Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.

“Hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan,” katanya dalam kenyataan.

Pergerakan pro-Palestin dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengecam kehadiran syarikat pertahanan utama barat pada pameran tiga hari itu yang berakhir esok.

Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) turut menamakan MBDA (BAE Systems), Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI, dan Leonardo kerana membekalkan senjata kepada Israel, yang terlibat dalam ‘genosid dan pembunuhan kejam rakyat Palestin’.

Mahathir dalam pada itu berkata Kementerian Pertahanan mesti mengambil tindakan tegas dan mengarahkan syarikat terbabit keluar secepat mungkin. Beliau berkata membenarkan mereka menyertai pameran itu mempersendakan penentangan Putrajaya terhadap “kekejaman yang dilakukan oleh Tel Aviv”.

Beberapa syarikat itu yang menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia 2024 sebelum ini, menyediakan peralatan ketenteraan kepada Malaysia.

Pada Februari, radar pengawasan jarak jauh yang dibangunkan oleh Lockheed Martin dilaporkan dipasang di Malaysia Timur, manakala BAE dan Leonardo mempunyai hubungan yang lama dengan angkatan tentera Malaysia.

Khaled berkata dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia.

“Tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia.

“Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin.”

Beliau juga menegaskan bahawa pameran itu menyediakan ruang serta memberi peluang kepada semua pihak mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan dan tiada syarikat tertentu diberi kelebihan.

Beliau berkata pameran itu dianjurkan sepenuhnya dan dibayar oleh sektor swasta, dan pemain industri dari negara Islam seperti Turki, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Bosnia dan Herzegovina dan Pakistan turut mengambil bahagian.

“Selain negara-negara Islam, pameran ini turut menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.