Kes jenayah Goldman Sachs berhubung 1MDB tamat

Kes jenayah Goldman Sachs berhubung 1MDB tamat

Bank Wall Street itu telah membayar penalti sebanyak USD2.9 bilion (RM13.75 billion).

Goldman Sachs membantu menjual bon USD6.5 bilion untuk 1MDB, mengutip fi kira-kira USD600 juta. (Gambar AP)
NEW YORK:
Seorang hakim Amerika Syarikat pada Isnin secara rasmi menamatkan kes jenayah kerajaannya terhadap Goldman Sachs berhubung urusan kerja bank Wall Street itu untuk 1MDB selepas ia memenuhi kewajipannya dan membayar penalti USD2.9 bilion (RM13.75 billion).

Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan Margo Brodie di Brooklyn menolak tuduhan konspirasi rasuah terhadap Goldman, selepas bank itu berjaya menyelesaikan perjanjian pendakwaan tertunda tiga tahun yang tamat pada Oktober.

Goldman tidak menentang pengguguran tuduhan jenayah itu.

Bank itu membantu menjual bon USD6.5 bilion untuk 1MDB, yang ditubuhkan bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak dengan bantuan ahli perniagaan Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low, untuk menggalakkan pembangunan ekonomi.

Pihak berkuasa AS dan Malaysia berkata, USD4.5 bilion telah diseleweng, dengan sebahagiannya dilencongkan ke akaun bank luar pesisir dan “shell company” dikaitkan dengan Low, yang kini sedang diburu.

Goldman sebelum ini berkata, pegawai 1MDB dan bekas pegawai kerajaan Malaysia menipu pihak bank tentang bagaimana hasil jualan bon itu akan digunakan.

Bank itu mengutip fi kira-kira USD600 juta, dan unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas tuduhan rasuah.

Dua bekas pegawainya telah didakwa atas tuduhan jenayah berhubung perkara itu.

Tim Leissner, yang mengetuai perniagaan Goldman di Asia Tenggara, mengaku bersalah dan masih menunggu hukuman.

Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan di Malaysia, disabitkan kesalahan di Brooklyn dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun. Dia bagaimanapun dihantar pulang ke Malaysia pada Oktober lepas untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.