Kemahiran tak padan punca ramai belia menganggur, kata pakar

Kemahiran tak padan punca ramai belia menganggur, kata pakar

Ketidakpadanan antara kemahiran dikehendaki industri dan yang dilengkapkan oleh universiti dikatakan punca pengangguran belia tinggi.

Mata pelajaran yang diajar di universiti mungkin sudah ketinggalan zaman kerana teknologi berubah dengan pantas, menurut perunding sumber manusia Srithren Krishnan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Walaupun pasaran kerja Malaysia diunjurkan kekal stabil tahun ini, kebimbangan terus wujud tentang kadar pengangguran belia yang tinggi, kekal pada 10.6% untuk bulan keempat berturut-turut pada Februari, menjejaskan lebih 306,600 orang.

Bagi kumpulan umur 15-24 tahun, kegagalan mendapatkan pekerjaan terutamanya disebabkan oleh ketidakpadanan kemahiran, menurut seorang pakar ekonomi dan perunding sumber manusia.

Profesor ekonomi di Sunway Business School Yeah Kim Leng berkata, faktor penting menyumbang kepada masalah itu ialah ketidakpadanan antara kemahiran yang dikehendaki industri dan yang dilengkapkan oleh universiti tempatan.

Beliau mengaitkan kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia di negara ini dengan “faktor permintaan dan bekalan”.

“Peningkatan pengangguran belia menunjukkan bahawa sumber manusia negara tidak digunakan sepenuhnya,” kata Yeah kepada FMT Business.

Beliau berkata, persaingan sengit dalam kalangan pencari kerja bermakna kekosongan yang terhad dalam bidang-bidang seperti kejuruteraan, sains, perakaunan dan analisis kewangan cenderung diisi oleh graduan universiti tempatan dan luar negara yang bertaraf tinggi.

Yeah Kim Leng.

Sebaliknya, Yeah berkata, sektor intensif buruh seperti pertanian, perikanan, pembinaan dan pembuatan kelas rendah, yang menawarkan banyak peluang pekerjaan, kebanyakannya diisi oleh pekerja asing.

Hal ini terjadi kerana belia tempatan enggan mengambil pekerjaan sedemikian disebabkan gaji yang rendah dan keadaan pekerjaan yang mencabar, katanya.

Untuk menangani ketidakpadanan dalam pasaran kerja ini, Yeah mencadangkan lebih banyak skim peningkatan dan pemadanan kemahiran untuk belia diperkenalkan melalui perkongsian awam-swasta.

“Kejayaan belia memasuki alam pekerjaan dan mencari pekerjaan dengan gaji berpatutan serta mereka yang berjiwa keusahawanan akan menyumbang kepada ekonomi yang lebih dinamik, dan masyarakat yang sejahtera,” katanya.

Kursus universiti ketinggalan zaman?

Sementara itu, perunding sumber manusia Srithren Krishnan turut menyebut wujudnya ketidakpadanan yang besar antara perkara yang dipelajari oleh golongan muda dengan apa yang dikehendaki dalam pekerjaan moden.

“Mungkin mata pelajaran yang diajar di universiti sudah ketinggalan zaman kerana teknologi berubah dengan pantas,” katanya kepada FMT Business.

Beliau berkata, kerajaan perlu memandatkan latihan amali selama setahun untuk mahasiswa bagi memastikan mereka memenuhi piawaian industri,.

“Selain itu, industri harus tampil untuk bekerjasama dan membangunkan makmal di universiti untuk menghasilkan produk kajian bersama yang menekankan aplikasi teknologi tinggi,” katanya.

Srithren juga mencadangkan agar kerajaan tidak membenarkan industri berorientasikan buruh beroperasi, sebaliknya menekankan proses kerja dipacu kecerdasan buatan (AI).

Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar baru-baru ini melaporkan bahawa Malaysia, seperti negara Asia Tenggara dan Pasifik yang lain, sedang bergelut dengan pengangguran belia.

Laporan itu menyebut pengangguran belia di Malaysia sebagai “isu yang kompleks”, dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti segmen belia bandar yang diabaikan, permintaan agregat dan ketidakpadanan struktur dalam pasaran kerja.

Kenanga Investment Bank mengunjurkan bahawa pasaran kerja Malaysia akan kekal stabil pada tahun ini, dengan purata kadar pengangguran pada 3.2%, selaras dengan kadar 3.4% tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.