Ikim anjur meja bulat selesai isu boikot

Ikim anjur meja bulat selesai isu boikot

Ikim berkata, perbincangan meja bulat itu akan menghimpunkan pakar pelbagai bidang dan ia juga akan menjalankan penyelidikan berkaitan.

Rangkaian kedai serbaneka KK Mart berdepan tindakan boikot susulan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
KUALA LUMPUR:
Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) akan menganjurkan perbincangan meja bulat bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan isu boikot terhadap beberapa produk kebelakangan ini.

Ketua Pengarahnya, Prof Madya Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, perbincangan meja bulat itu akan menghimpunkan pakar pelbagai bidang, selain Ikim juga akan menjalankan penyelidikan berkaitan isu tersebut.

“Ikim merasakan isu boikot ini harus diteliti secara mendalam,” katanya dalam kenyataan.

Pada 4 Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar dilaporkan mengarahkan Ikim meneliti semua pandangan berhubung tindakan boikot dalam kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini.

Antara yang terlibat dalam isu boikot ialah kedai serbaneka KK Super Mart (KK Mart) ekoran isu stoking tertera kalimah Allah, selain beberapa jenama rangkaian makanan dikaitkan menyokong Israel yang zalim terhadap rakyat Palestin.

Azam berkata, Ikim berpandangan isu boikot harus dilihat berdasarkan neraca keadilan dan aspek maslahah (berguna, kebaikan) dan mafsadah (kerosakan) secara mendalam serta jika tindakan itu adil dan benar, mendatangkan kebaikan atau mengundang lebih banyak mudarat.

Mengakui tindakan boikot boleh menunjukkan kuasa pengguna sebenar, termasuk dalam menyampaikan mesej dan memberi isyarat kepada pengusaha di Malaysia, katanya, masih ada persoalan perlu dilihat dalam konteks lebih meluas.

“Ini termasuklah kesan terhadap kemajuan ekonomi negara secara keseluruhan, termasuk boleh menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan dan destinasi pelaburan, selain jika boikot memberikan keadilan sebenar kepada pelbagai pihak terlibat dan terkesan dengan tindakan tersebut.

“Selain itu, pemegang saham terbesar beberapa rangkaian makanan diboikot juga dimiliki orang Islam, menimbulkan kekhuatiran jika boikot bersifat emosi dan tanpa perancangan rapi akan meruntuhkan ekonomi orang Islam sendiri.

“Tindakan ini juga menjejaskan sektor pekerjaan, terutama membabitkan tenaga kerja tempatan yang bekerja dengan entiti perniagaan diboikot akan turut menerima kesan seperti potongan gaji atau kehilangan pekerjaan.”

Kenyataan itu juga merujuk pandangan Mufti Perak, Wan Zahidi Wan Teh bahawa tuduhan menghina agama Islam dilemparkan terhadap pengurusan KK Mart susulan isu stoking tertera kalimah Allah tidak terbukti, sekali gus tiada kewajaran premis perniagaan syarikat itu diboikot.

Zahidi turut dilaporkan berkata, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya atau “alqasdul jinaei” (criminal intent) dan elemen itu tidak boleh dibuktikan melalui “syahadah” atau “direct evidence”.

Sebaliknya, beliau berkata, ia hanya boleh dibuktikan dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian “qarainul ahwal” (bukti ikut keadaan – circumstantial evidence).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.