
Penganalisis sukan, Pekan Ramli, menyifatkan insiden menimpa Akhyar Rashid dan Faisal Halim sebagai ‘kejutan besar’ dalam sejarah bola sepak dan mempersoalkan adakah ia merupakan jenayah terancang.
“(Ia) dua kes dalam tempoh yang terdekat. Memang kita tak boleh buat sebarang spekulasi. Kita harap dua kes ini tiada perkaitan dan ia secara kebetulan sahaja.
“Trend ini sangat merbahaya dan perlu dihentikan segera. Paling bahaya kalau perbuatan tidak bertamadun ini terkait dengan sentimen melampau atau melangkaui semangat sukan itu sendiri. Ini tidak boleh dibenarkan sama sekali,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kes sedemikian tidak boleh dipandang ringan termasuk mengingatkan ‘jangan sampai ada pemain bola sepak yang menjadi korban’.
Ahad lalu, Faisal dikenali sebagai ‘Mickey’ yang juga penjaring gol tercantik Piala Asia lecur di beberapa bahagian badan iaitu sekitar leher, bahu, lengan dan dada selepas disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Insiden menimpa Faisal yang mewakili Selangor FC adalah kejadian kedua melibatkan pemain Harimau Malaya.
Khamis lalu Akhyar, pemain sayap Terengganu FC cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Icon Residence, Kuala Terengganu.
Semalam, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, menafikan dakwaan serangan terhadap Akhyar dan Faisal mempunyai kaitan dengan pengendali pertaruhan atau ‘bookie’.
Razarudin menasihatkan orang ramai tidak mereka cerita dan minta polis diberikan ruang untuk menjalankan siasatan kes itu.
Sementara itu, pemerhati sukan, Shauki Kahar, berkata kejadian tersebut menunjukkan ‘gejala tidak sihat sedang melanda sukan negara’.
Pengulas bola sepak itu berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu mengambil serius insiden berkenaan kerana dibimbangi akan ‘berjangkit’ kepada sukan lain.
“Kebebasan komen melampau melibatkan kelab penyokong di media sosial juga menyumbang kepada (sikap) tidak sihat dalam kalangan mereka. Saya harap langkah tegas diambil bagi menyekat gejala sebegitu rupa.
“Tidak dinafikan mungkin ada unsur lain umpamanya faktor dendam, iri hati serta peribadi yang boleh dikaitkan dengan insiden sebegini,” katanya.
Shauki menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan KBS merangka kempen kerohanian dan persaudaraan dengan menekankan semangat kesukanan dalam kalangan penyokong sukan tanah air.