
Usha, seorang perunding pengurus di sebuah syarikat perundingan perniagaan berkata, bagi organisasi dengan tenaga kerja yang kecil, semua pekerja bekerja pada waktu yang sama lebih mudah diurus.
“Jika sebuah syarikat hanya mempunyai lima orang pekerja dan kerja mereka saling berkait, sukar jika seorang pekerja mula bekerja pada 8 pagi dan seorang lagi pada 10 pagi,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, perniagaan yang mempunyai waktu operasi tetap seperti bengkel juga sukar melaksanakan penjadualan fleksibel.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, penyesuaian struktur kerja bagi jadual fleksibel boleh menimbulkan masalah terutamanya apabila tugas-tugas saling bergantung atau memerlukan kerjasama rapat dalam kalangan ahli pasukan.
“Pengaturan kerja fleksibel adalah satu pilihan tetapi memerlukan perancangan yang teliti dan disiplin yang tinggi agar dapat memberikan manfaat kepada pekerja dan majikan,” kata Syed Hussain yang menegaskan, MEF menyokong pengaturan kerja fleksibel.
Beliau berkata, teknologi semasa membolehkan pengaturan kerja fleksibel menjadi suatu pilihan, dengan aplikasi penjadualan dan komunikasi untuk persidangan video tersedia.
Usha mencadangkan syarikat bermula dengan mengatur waktu kerja berperingkat, bermula antara 8 pagi hingga 10 pagi dan berakhir antara 4.30 petang hingga 6.30 petang.
Waktu sedemikian akan membolehkan pekerja melakukan tugas yang diperlukan pada waktu pagi tanpa menjejaskan daya pengeluaran, katanya.
Beliau juga mencadangkan pekerja syif dibenarkan bekerja hanya empat hari dalam seminggu, tetapi mengekalkan jumlah waktu bekerja dalam seminggu atau sebulan dengan bekerja lebih lama setiap hari.
Bulan lepas, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, pekerja boleh memohon pengaturan kerja fleksibel berasaskan masa, hari dan lokasi kerja. Katanya, permintaan sedemikian perlu dikemukakan kepada majikan untuk maklum balas dalam tempoh 60 hari. Majikan yang menolak mesti memberikan alasan penolakan permintaan tersebut.