Perosak rumah tangga juga wajar dinafi kenaikan gaji, kata Ahli Parlimen

Perosak rumah tangga juga wajar dinafi kenaikan gaji, kata Ahli Parlimen

Terdahulu perdana menteri mengulangi amaran dengan meminta penjawat awam setiap jabatan memantau dan mengenal pasti kakitangan yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam.

Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman berkata sektor awam perlu melihat swasta yang mengamalkan sistem penilaian prestasi sebagai contoh untuk menentukan seseorang pekerja berfungsi dengan baik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selain penjawat awam ‘lembab’ dan tidak hadir kerja, mereka yang tidak bermoral termasuk perosak rumah tangga juga wajar tidak menerima kenaikan gaji bermula Disember ini, kata seorang Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman yang mencadangkan perkara itu berkata ia bagi memastikan sektor awam hanya diisi penjawat berintegriti dan tidak memberi kesan kepada prestasi baik kerajaan.

Katanya, sektor awam perlu melihat swasta yang mengamalkan sistem penilaian prestasi – petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai contoh untuk menentukan seseorang pekerja berfungsi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti dikehendaki majikan.

“Kakitangan awam yang mempunyai masalah moral dan integriti seperti punca kepada keruntuhan rumah tangga seseorang juga tidak patut diberikan kenaikan gaji atau pangkat,” katanya mengulas pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa penjawat awam dengan prestasi tidak baik tidak layak dinaikkan gaji.

“KPI sangat efektif untuk menilai pencapaian kakitangan yang rajin bekerja atau sebaliknya. Yang layak saja patut menerima kenaikan gaji,” katanya kepada FMT sambil meminta Putrajaya memantau penjawat awam di Labuan supaya bersih dari masalah seumpama itu.

Dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri pagi ini, Anwar yang juga menteri kewangan mengulangi amarannya dengan meminta penjawat awam setiap jabatan memantau dan mengenal pasti kakitangan yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam.

Beliau berkata, individu yang didapati melanggar disiplin tidak boleh menerima layanan sama termasuk mendapat kenaikan gaji.

“Ada yang pertikai, kalau di sekolah, mungkin lebih 90% guru menjalankan tanggungjawab. Ada guru yang cuai. Ada yang kadang-kadang tak hadir. Begitu juga masalah di jabatan. Ada golongan kecil rasuah, tak datang kerja…pelbagai masalah. Apakah kita harus beri layanan yang sama?

“Saya jawab tidak. Kita tak akan beri layanan yang sama. Jadi, sementara kita berikan satu anjakan radikal dari segi pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara untuk mengawal sendiri dan jabatan. Kenal pasti orang yang merosakkan nama baik penjawat awam,” katanya.

Pada sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ 1 Mei lalu, Anwar mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13% bermula 1 Dis, antara tertinggi dalam sejarah dengan peruntukan lebih RM10 bilion.

Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan juga akan meningkatkan gaji minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan, berbanding ketika ini menyaksikan jumlah pendapatan minimum termasuk gaji dan elaun tetap RM1,795 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.