LRA Sungai Linggi kembali beroperasi

LRA Sungai Linggi kembali beroperasi

Menteri besar Negeri Sembilan berkata sumber air mentah kembali pulih susulan masalah kualiti sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini, Syarikat Air Negeri Sembilan mengesan bau minyak yang tinggi di Sungai Linggi menyebabkan pengeluaran pemprosesan air terawat terpaksa dihentikan. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi kembali beroperasi semula hari ini selepas sumber air mentah kembali pulih, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.

Beliau berkata, pemberhentian operasi LRA selama beberapa hari itu memberi kesan gangguan bekalan air kepada seramai 37,000 pengguna di Port Dickson dan sebahagian Seremban.

“Sepanjang permasalahan gangguan bekalan air ini, Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menyediakan 12 tangki statik di beberapa lokasi utama dan menghantar bekalan air ke kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Sains memaklumkan operasi di LRA itu terpaksa ditutup sementara berikutan terdapat masalah kualiti air mentah kerana terdapat bau minyak yang tinggi iaitu pada kadar 19 ton.

Terdahulu, Aminuddin berkata operasi dijalankan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) pada Sabtu lalu di sepanjang laluan Jalan Pantai mengenal pasti satu premis bengkel lori yang disyaki suspek dalam kes pelepasan cecair minyak ke Sungai Linggi dan kes sedang disiasat.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat komited dan tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu atau organisasi yang didapati melakukan kesalahan mencemarkan sumber air mentah di negeri ini dengan tindakan tegas akan dikenakan sama ada dalam bentuk kompaun, denda atau penjara.

Aminuddin berkata, orang awam digalakkan menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa bagi mengelak kejadian seumpama ini berlaku pada masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.